Teks: Rudy Ludinata & Khairul Amirin
Tidak pernah bermimpi untuk mempunyai hasil tanaman yang boleh mendatangkan rezeki. Begitulah impian yang menjadi kenyataan kepada Khairul Amirin Khairudin, 23 yang mengetuai kumpulannya melaksanakan Projek Inkubator Top Agro @UPM.
Beliau bersama 6 lagi rakan iaitu Firdaus Mohd Radzi, 23 , Muhammad Imran Azman, 23, Muhamad Zahid Bin Ahmad Fozi, 23, Muhammad Hafiz Aiman Mohd Khairuddin, 22, Nur Amirul Haakim Tumiran, 23 dan Ahmad Shukri Yahya, 22 telah memilih untuk menanam 1,300 pokok rock melon di Unit Fertigasi, Ladang Agrotek, Taman Pertanian Universiti (TPU) UPM.
Program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Perhubungan Alumni (PPA) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM dengan kerjasama Fakulti Pertanian, Majlis Perwakilan Pelajar dan Malaysian Agro Entrepreneurial Club for University Students (MyAgrosis) dan TPU yang menyediakan khidmat guna tanah seluas 2 hektar.
Projek bernilai RM 14,000.00 itu dimulakan pada 1 Januari 2021 dan telah menuai hasil buah rock melon sebanyak 3 tan pada 8 Mac 2021.
Khairul Amirin Khairudin berkata, kumpulannya menyahut cabaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk merealisasikan harapan melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan.
“Saya gembira dapat menyertai projek ini yang memberi pendedahan dan kemahiran tentang asas usahawan pertanian atau ‘Agro-prenuer’ ”, Katanya.
Selain itu, meraka diberi pendedahan latihan pertanian jangka panjang agar boleh mengusahakan pertanian menggunakan kaedah fertigasi sebagai mata pencarian mereka selepas bergelar graduan kelak. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan asnaf menerusi kemahiran keusahawanan dan insaniah.
Katanya, pokok rock melon mereka ditanam di dalam beg politin (polibag) menggunakan kaedah tanaman fertigasi iaitu tanaman moden tanpa menggunakan tanah. Seorang Pegawai Pertanian yang merupakan alumni UPM telah menjadi mentor untuk memantau kejayaan projek berkenaan.
Sepanjang 3 bulan mengusahakan tanaman tersebut Khairul Amirin dan kumpulannya telah berkongsi petua untuk memberi inspirasi kepada rakan pelajar yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan.
Sebelum memulakan projek ini, jadual tanaman haruslah diambil kira dan dirancang dengan sebaiknya seperti hari penanaman, hari pembajaan dan hari penuaian bagi memastikan tanaman yang ditanam dapat mengeluarkan hasil yang sepatutnya dan dapat dijual pada musim yang sesuai. Manakala kawasan penanaman fertigasi juga hendaklah dibersihkan terlebih dahulu daripada sebarang sisa dan makhluk perosak bagi mengurangkan risiko penyakit serta serangan dari perosak tanaman.
Pilih biji benih yang berkualiti untuk disemai di dalam dulang. Hal ini menunjukkan bahawa sebelum pembenihan, benih dirawat untuk memastikan hanya pokok rock melon yang sihat saja boleh ditanam di dalam sistem fertigasi. Lazimnya, anak benih yang disemai di dalam dulang akan tumbuh membesar dalam tempoh 10 hari hingga 2 minggu sahaja.
Kerja-kerja pemindahan anak benih boleh dilakukan pada usia antara 10 - 12 hari atau jika anak benih sudah mempunyai daun keempat sebesar ibu jari tangan. Anak benih mula dipindahkan dan di tanam di dalam bekas ‘autopot’. Anak pokok hendaklah dipegang dengan baik agar tidak tercabut akarnya. Untuk kerja-kerja pemindahan anak pokok ke dalam beg politin, satu lubang perlu digali pada ‘cocopeat’ di tengah tengah beg politin dengan ukuran 4 cm lebar x 4 cm panjang x 4 cm tinggi.
Tali rafia digunakan dengan diikat pada pangkal pokok rock melon. Kemudian pucuk yang keluar dan semakin memanjang dililit di sekeliling tali rafia. Kerja melilitkan pucuk pokok mesti dilakukan bagi memastikan pokok tumbuh tegak ke atas. Biasanya, kerja melilit pokok dilakukan serentak dengan kerja-kerja membuang tunas air.
Tujuan utama pokok diikat ialah untuk menyediakan sokongan kerana pokok rock melon adalah sejenis tumbuhan jenis menjalar dan tidak mempunyai batang yang tegak. Oleh itu, sistem sokongan menggunakan tali rafia diperlukan agar pokok dapat membesar dan tumbuh dengan elok dan menegak, mendapat cahaya dengan secukupnya dan batang tidak patah serta buah tergantung dan bersih. Pokok melon juga boleh diikat selepas dua minggu daripada tarikh anak pokok dipindahkan. Ini kerana pada usia ini, pokok melon sudah mula menjalar.
Kerja-kerja pemangkasan hendaklah dilakukan dengan membuang tunas yang keluar di batang utama. Tunas tersebut kebiasaannya dipanggil tunas air yang mula keluar ketika pokok berusia 3 minggu. Kerja-kerja pemangkasan dilakukan untuk mengelakkan tunas air membesar. Proses ini akan memberi kesan kepada batang utama dan membantu pembesaran buah. Jika dibiarkan, tunas air akan membesar dan mencuri nutrien yang diperlukan oleh batang dan buah. Akibatnya pokok akan menjadi tidak sihat dan buah yang dituai kelak akan kurang berkualiti.
Selain itu, daun-daun tua juga perlu dibuang supaya mengelakkan penyakit. Pembuangan daun-daun tua dilakukan setelah mengutip hasil. Proses pemangkasan boleh dilakukan dengan menggunakan pisau, gunting atau pemotong dahan.
Pokok membesar dengan unsur oksigen, hidrogren dan karbon dioksida daripada udara. Namun begitu, sebatian baja dengan 14 jenis unsur amat diperlukan untuk tumbesaran pokok. Sebatian ini terdiri daripada Nitrogen, Fosforus, Kalium, Kalsium, Sulfat, Magnesium, Mangan, Ferum (zat besi), Kuprum, Zink, Boron, Ammonium, Molibdenum dan Natrium. Oleh itu, pastikan semua sebatian ini larut di dalam air agar ia dapat diagihkan secara sekata ke semua pokok.
Baja boleh disediakan dalam frekuensi yang berbeza setiap hari atau mingguan mengikut keperluan pengairan, jenis tanah, dan faktor-faktor lain. Biasanya, pengairan dibuat 5 kali sehari. Usah teragak-agak untuk menyiram pokok jika faktor cuaca menyebabkan pokok memerlukan lebih banyak sumber air terutamanya pada musim panas dan kering.
Kerja-kerja pendebungaan dilaksanakan dengan di mana stamen bunga jantan digeselkan ke stigma bunga betina. Hal ini boleh meningkatkan hasil buah rock melon. Untuk melakukan pendebungaan, pilih bunga jantan yang sihat kemudian buang semua kelopak bunga. Pendebungaan mestilah dilakukan pada waktu pagi iaitu bermula pada jam 10 pagi kerana bunga kembang sepenuhnya. Hasil pendebungaan hanya boleh dilihat selepas 48 jam.
Buah rock melon boleh dituai apabila daun pengasuh (flag leaf) telah kering dan diikuti dengan adanya tanda-tanda retak mengelilingi pangkal buah. Semua hasil boleh diasingkan mengikut saiz untuk dijual di pasaran. Alat pemotong untuk memetik buah mestilah tajam agar tangkai dipotong dengan elok dan tidak menurunkan kualiti hasil tuaian.
“Walaupun berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 3 tan, kami juga menghadapi masalah yang dapat memberi pelajaran kepada kami’, kata Khairul Amirin.
Sebanyak 50 peratus pokok telah diserang oleh penyakit dan serangga perosak. Namun begitu hasilnya tetap boleh dijual dengan harga yang rendah kerana gred dan kualiti buah tidak mencapai yang diharapkan. Hal ini kerana, tapak fertigasi tersebut kurang diselenggara dengan baik sebelum ini. Ia menjadi perumah kepada serangga perosak tanaman seperti lalat putih, lalat buah dan kumbang. Oleh yang demikian, hasil buah Gred A rendah disebabkan oleh serangan penyakit dan makhluk perosak.
Pada masa yang sama, Pandemik COVID19 juga telah mengekang pergerakan ahli kumpulan untuk memantau tanaman. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menghadkan perjalanan, urusan penjagaan tanaman dan proses jual beli buah.
Kesimpulannya, program ini telah memberi satu indikasi bahawa ramai pelajar UPM minat dan mampu menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan usahawan muda kelak hatta membantu dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Tambahan pula ia dapat membantu meningkatkan kemahiran insaniah dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas bergraduat kelak melalui pengalaman dan pembelajaran yang diperolehi sepanjang program ini berlangsung.
Malah yang lebih membanggakan Khairul Amirin dan kumpulannya telah berjaya mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian pada masa hadapan.
Kesinambungan projek pertanian seperti ini bukan sahaja memberi rezeki kepada mereka, malah akan membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat dengan aktiviti jualan hasil pertanian serta dapat mencungkil bakat terpendam pelajar dalam mencuba sesuatu perkara yang baharu.
Date of Input: 15/06/2021 | Updated: 15/06/2021 | zul_mohd
Level 1, Student Complex
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor