AKMAL DINOBATKAN TOKOH SISWA UPM, RAIH DUA PENGIKTIRAFAN TERTINGGI DI ANC 2026 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN cem
» BERITA » AKMAL DINOBATKAN TOKOH SISWA UPM, RAIH DUA PENGIKTIRAFAN TERTINGGI DI ANC 2026

AKMAL DINOBATKAN TOKOH SISWA UPM, RAIH DUA PENGIKTIRAFAN TERTINGGI DI ANC 2026

BANGI, 26 Julai 2026 – Pelajar tahun ketiga Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), Universiti Putra Malaysia (UPM), Lailatul Akmal Awiss Juharin, mencipta sejarah apabila bukan sahaja dinobatkan sebagai penerima Anugerah Usahawan Putra, malah turut diumumkan sebagai Tokoh Siswa UPM 2026, iaitu anugerah tertinggi sempena Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) Universiti Putra Malaysia 2026 yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, Selangor, malam tadi.

Akmal, yang juga merupakan warga Kolej Tun Dr Ismail (KTDI) UPM, berjaya mengatasi 13 orang penerima anugerah daripada pelbagai kluster sebelum diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Siswa UPM 2026, sekali gus melengkapkan pencapaian luar biasa beliau sebagai antara ikon mahasiswa terbaik universiti.

Anugerah Usahawan Putra diberikan kepada pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam merancang, mengurus dan melaksanakan program-program keusahawanan berimpak tinggi serta berjaya membangunkan perniagaan yang memberi manfaat kepada komuniti universiti, masyarakat dan ekonomi negara.

Manakala Anugerah Tokoh Siswa UPM pula merupakan pengiktirafan tertinggi universiti kepada mahasiswa yang menyerlah dalam aspek kepimpinan, akademik, sahsiah serta sumbangan kepada masyarakat di peringkat universiti, kebangsaan dan antarabangsa.

Sebagai pengasas Warung Yamal, Akmal membuktikan bahawa keusahawanan mahasiswa bukan sekadar menjana keuntungan, malah menjadi platform membina peluang pekerjaan, memperkasakan mahasiswa dan menyumbang kepada kesejahteraan komuniti.

Dalam ucapan penuh emosi selepas menerima anugerah, Akmal menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

"Malam ini, saya tidak melihat anugerah ini sebagai satu pengakhiran, tetapi sebagai satu amanah."

Beliau turut berkongsi kisah hidup yang menjadi titik perubahan dalam perjalanan keusahawanannya.

Menurut beliau, suatu ketika dahulu beliau pernah hadir ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM untuk memohon bantuan kecemasan dan menerima bantuan sebanyak RM300.

"Nilainya mungkin kecil, tetapi harapan yang diberikannya sangat besar."

Beliau berkata pengalaman tersebut menjadi pemangkin untuk terus berusaha sehingga berjaya mengubah kehidupannya.

"Hari ini, dengan izin Allah SWT, saya berdiri di pentas ini bukan lagi sebagai penerima bantuan, tetapi sebagai seorang usahawan yang berusaha membantu mahasiswa lain."

Akmal menjelaskan bahawa Warung Yamal bermula sebagai sebuah warung kecil di dalam kampus. Kini, lebih 50 orang mahasiswa pernah bersama-sama membangunkan perusahaan tersebut dan usaha itu telah memberi manfaat kepada lebih 20,000 orang pelajar UPM.

Menurut beliau, kejayaan sebenar bukanlah apabila seseorang berjaya mengubah kehidupannya sendiri, tetapi apabila kejayaan tersebut menjadi sebab kehidupan orang lain turut berubah.

Beliau turut menitipkan pesanan kepada mahasiswa agar tidak takut untuk memulakan sesuatu walaupun daripada langkah yang kecil.

"Jangan pernah takut untuk bermula hanya kerana permulaan kita kecil. Kerana Allah tidak menilai di mana kita bermula, tetapi Allah menilai kesungguhan kita untuk terus berusaha."

Dalam suasana penuh emosi, Akmal mendedikasikan kemenangan tersebut kepada kedua-dua ibu bapanya.

"Umi… Abah… Anak yang suatu ketika dahulu hanya membawa pulang impian, hari ini pulang membawa sebuah bukti."

Beliau berharap kejayaan itu menjadi hadiah atas segala pengorbanan dan doa ibu bapanya serta menjadi permulaan untuk beliau terus memberi manfaat kepada lebih ramai insan.

CEM Bangga Lahirkan Tokoh Siswa Berteraskan Keusahawanan

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM UPM), Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, menyifatkan kejayaan Akmal sebagai bukti bahawa pembangunan keusahawanan mampu melahirkan pemimpin mahasiswa yang holistik dan berimpak tinggi.

Beliau berkata, Akmal merupakan antara mentee keusahawanan CEM yang menunjukkan perkembangan luar biasa hasil bimbingan berterusan serta kesungguhan untuk belajar, memimpin dan memberi kembali kepada masyarakat.

"Akmal ialah contoh mahasiswa yang membuktikan bahawa keusahawanan bukan sekadar membina perniagaan, tetapi membentuk karakter, kepimpinan, daya tahan dan keupayaan menyelesaikan masalah. Beliau memanfaatkan setiap peluang yang diberikan dengan penuh komitmen sehingga berjaya muncul sebagai Tokoh Siswa UPM."

Menurut beliau, CEM bukan sahaja menyediakan latihan keusahawanan, malah melaksanakan pendekatan coaching, mentoring dan experiential learning bagi membentuk mahasiswa yang mempunyai daya usaha tinggi, pemikiran inovatif serta kebolehan mencipta peluang pekerjaan.

"Kami percaya graduan masa hadapan perlu memiliki atribut keusahawanan walau apa juga bidang pengajian mereka. Industri hari ini memerlukan graduan yang proaktif, kreatif, berani mengambil risiko yang terancang dan mampu memimpin perubahan. Akmal merupakan manifestasi kepada aspirasi tersebut."

Prof. Madya Dr. Hizmawati turut berharap kejayaan Akmal akan menjadi inspirasi kepada lebih ramai mahasiswa UPM untuk berani meneroka bidang keusahawanan sebagai platform membina kerjaya, menyelesaikan masalah masyarakat dan mencipta impak yang berkekalan.

Kejayaan berganda Akmal sebagai penerima Anugerah Usahawan Putra dan seterusnya Anugerah Tokoh Siswa UPM 2026 membuktikan komitmen Universiti Putra Malaysia dalam melahirkan graduan holistik yang cemerlang bukan sahaja dalam akademik, malah memiliki kepimpinan, sahsiah, semangat keusahawanan dan keupayaan memberi manfaat kepada masyarakat, selaras dengan aspirasi universiti untuk melahirkan pemimpin masa hadapan yang berdaya saing di peringkat nasional dan global. (CEM UPM)

Tarikh Input: 28/07/2026 | Kemaskini: 28/07/2026 | sarahshammaddin

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
X, (08:03:32pm-08:08:32pm, 07 Sep 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]