
Serdang, 24 Mac 2025 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) telah meneruskan siri jerayawara ke fakulti-fakulti dengan mengadakan lawatan ke Fakulti Perubatan Veterinar, UPM pada hari ini.
Delegasi CEM yang diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin telah disambut mesra oleh Prof. Dr. Jalila Abu, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Fakulti Perubatan Veterinar.
Program jerayawara ini bertujuan untuk memperkenalkan fungsi serta peranan CEM kepada pelajar dan staf fakulti, di samping mengetengahkan pelbagai peluang pembangunan kerjaya dan keusahawanan yang ditawarkan.
Menurut Prof. Madya Dr. Hizmawati, CEM komited dalam usaha memperkasa pelajar UPM melalui pelbagai inisiatif yang menyeluruh, meliputi latihan keusahawanan, pembangunan soft skills, serta pendedahan kepada platform pencarian kerja yang relevan.
“Melalui sesi seperti ini, kami ingin membuka ruang dan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai kepelbagaian laluan kerjaya, termasuk keusahawanan, agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja masa kini,” katanya.
Tambah beliau, pelajar Fakulti Perubatan Veterinar juga memiliki kelebihan dalam bidang profesional yang boleh dikembangkan kepada peluang keusahawanan seperti perkhidmatan veterinar bergerak, penghasilan produk nutrisi haiwan, serta konsultasi berkaitan kesihatan haiwan dan untuk menyokong keterjaminan makanan melalui perladangan ruminan
Sesi interaktif turut diadakan bersama pelajar bagi memberi penerangan mengenai platform pembangunan kerjaya seperti MyNext TalentCorp, MyFutureJobs Perkeso, LinkedIn, serta bimbingan dalam membina profil kerjaya yang lebih kompetitif.
Program jerayawara CEM akan diteruskan ke fakulti-fakulti lain di UPM sebagai langkah strategik untuk memupuk budaya celik kerjaya dan keusahawanan dalam kalangan mahasiswa sejak awal pengajian lagi.
#cem #upm #berilmuberbakti #cemjerayawara #veterinarupm #usahawanmuda #cem2025
Tarikh Input: 24/03/2025 | Kemaskini: 25/03/2025 | zubair

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <