CEM Perkasa Kesedaran Kerjaya Dan Keusahawanan Digital Di FSKTM UPM Melalui Sesi Jerayawara | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN cem
» BERITA » CEM Perkasa Kesedaran Kerjaya dan Keusahawanan Digital di FSKTM UPM melalui Sesi Jerayawara

CEM Perkasa Kesedaran Kerjaya dan Keusahawanan Digital di FSKTM UPM melalui Sesi Jerayawara

Serdang, 24 Mac 2025 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan inisiatif jerayawara ke fakulti-fakulti dengan mengadakan sesi lawatan ke Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) pada hari ini, bertujuan memperkenalkan fungsi serta peranan CEM kepada pihak fakulti dan memperkukuh kerjasama dalam agenda pembangunan pelajar.

Delegasi CEM yang diketuai oleh Pengarahnya, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, telah disambut mesra oleh Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Shamala A/P K. Subramaniam. Pertemuan ini turut melibatkan wakil pengurusan fakulti dalam sesi perbincangan dua hala bersama pihak CEM.

Program ini diadakan bagi memperkenalkan inisiatif, perkhidmatan dan peluang yang ditawarkan oleh CEM, khususnya dalam menyokong pembangunan kerjaya serta penerokaan bidang keusahawanan digital dalam kalangan pelajar. Sesi ini juga menjadi platform untuk mengenal pasti potensi kerjasama strategik antara fakulti dan CEM dalam usaha memperkasa pelajar dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk dunia kerjaya masa kini.

Menurut Prof. Madya Dr. Hizmawati, pelajar dalam bidang Sains Komputer dan Teknologi Maklumat memiliki kelebihan besar untuk menceburi bidang kerjaya berasaskan teknologi serta menjadi pelopor dalam dunia keusahawanan digital yang dinamik.

“Melalui jerayawara ini, kami berharap dapat menyampaikan maklumat dan peluang yang ditawarkan oleh CEM kepada pihak fakulti, sekali gus membuka lebih banyak ruang kolaborasi yang memberi manfaat kepada pembangunan pelajar,” ujar beliau.

Antara platform yang diperkenalkan semasa sesi tersebut termasuk MyNext TalentCorp, MyFutureJobs oleh PERKESO, dan LinkedIn, selain pelbagai program pembangunan soft skills dan keusahawanan yang dikendalikan oleh CEM.

CEM akan meneruskan siri jerayawara ke seluruh fakulti di UPM sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membina ekosistem pembangunan kerjaya dan keusahawanan yang menyeluruh bagi pelajar UPM.

#cem #upm #jerayawara #FSKTM #keusahawanandigital #kerjaya #BerilmuBerbakti

Tarikh Input: 25/03/2025 | Kemaskini: 25/03/2025 | zubair

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
W, (06:39:03am-06:44:03am, 13 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]