USAHAWAN SISWA UPM JUARA PERTANDINGAN USAHAWAN INOVASI PIALA MENTERI PENGAJIAN TINGGI 2022 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » USAHAWAN SISWA UPM JUARA PERTANDINGAN USAHAWAN INOVASI PIALA MENTERI PENGAJIAN TINGGI 2022

USAHAWAN SISWA UPM JUARA PERTANDINGAN USAHAWAN INOVASI PIALA MENTERI PENGAJIAN TINGGI 2022

30 November 2022. Putrajaya – Universiti Putra Malaysia (UPM) menang berganda setelah muncul juara Pertandingan Usahawan Inovasi 2022 Piala Menteri Pengajian Tinggi dan pemenang Anugerah Khas Business Model Canvas (BM) Terbaik sekaligus membawa pulang geran perniagaan secara keseluruhan berjumlah RM33,000 dan piala iringan.

UPM yang diwakili oleh 3 orang pelajar iaitu Hoh Jia Da dan Heon Hi Teng, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat dan Hairul Faizi Bin Hairulnizam , Fakulti Kejuruteraan telah membawa produk inovasi iaitu kad permainan pendidikan Edulab Zing. Permainan kad ini dapat menjadikan pembelajaran bahasa Inggeris lebih menyeronokkan untuk pelajar dari semua latar belakang sosio-ekonomi.

Pasukan yang dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan UPM ini telah membentangkan idea berkonsepkan perusahaan sosial yang bertujuan untuk mengurangkan jurang Pendidikan di Malaysia dengan menginovasi cara baharu pembelajaran dan mempraktikkan bahasa Inggeris dengan permainan

“Saya sangat berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana telah menganjurkan pertandingan yang berprestij dan ini merupakan platform terbaik bagi kami sebagai pelajar menonjolkan idea atau produk inovasi kepada masyarakat dan pihak agensi yang berkaitan.

“Perjalanan untuk muncul sebagai juara bukanlah mudah dan kami gembira kerana mendapat sokongan daripada Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) yang sentiasa membantu dan menyediakan keperluan sepanjang kami mengikuti pertandingan ini” kata Hoh Jia Da yang kini merupakan pelajar tahun akhir selaku ketua pasukan.

Menurutnya lagi, geran perniagaan yang diterima akan digunakan untuk mengembangkan perniagaan dan pemasaran produk Edulab Zing serta menganjurkan lebih banyak bengkel bahasa Inggeris untuk pelajar B40 di kawasan luar bandar.

“Tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar sekolah semakin merosot sejak beberapa tahun lalu. Oleh itu, kami cuba menghasilkan satu produk inovasi agar dapat menarik minat pelajar dan membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris masing-masing.”, Katanya lagi.

Pertandingan bertemakan “Inovasi Hari Ini Untuk Kelestarian Masa Hadapan”  adalah seiring dengan perkembangan dan keperluan masa kini di mana inovasi dalam kehidupan perlu diterapkan bagi memenuhi cabaran globalisasi kelak. Sebanyak 62 kumpulan daripada 47 Insititusi Pendidikan Tinggi (IPTA/IPTS/ Politeknik dan Kolej Komuniti) telah menyertai pertandingan tersebut bagi merebut gelaran juara.

UPM berbangga dengan kejayaan  dan kemampuan pelajar untuk menyumbang pengetahuan dan kepakaran mereka dalam pembinaan negara dengan menyediakan penyelesaian inovatif untuk mempercepatkan agenda transformasi digital.

Majlis Penutup dan Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pengajian Tinggi di Hotel Zenith, Putrajaya.

Tarikh Input: 01/12/2022 | Kemaskini: 01/12/2022 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEYHAg~