Keusahawanan Sosial Untuk Tingkat Ekonomi Komuniti Bandar | CENTRE OF ENTREPRENEURIAL DEVELOPMENT AND GRADUATE MARKETABILITY
» NEWS » Keusahawanan Sosial Untuk Tingkat Ekonomi Komuniti Bandar

Keusahawanan Sosial Untuk Tingkat Ekonomi Komuniti Bandar

KUALA LUMPUR, 7 Nov (Bernama) -- Program Perusahaan Sosial@Komuniti Bandar (SE@UC) yang diadakan di beberapa Institut Pengajian Tinggi (IPT) di bawah tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bertujuan melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar selain meningkatkan pendapatan dan taraf ekonomi isi rumah komuniti bandar.

Universiti Putra Malaysia (UPM) diberi mandat untuk menerajui program perintis itu yang turut melibatkan Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Sains Islam Malaysia dan Kolej Komuniti.

Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan Universiti Putra Malaysia (CEM) Dr Mass Hareeza Ali berkata program itu juga untuk mentransformasikan pemikiran mahasiswa dalam

bidang keusahawanan sosial melalui gerak kerja lapangan dan menerapkan ciri-ciri keusahawanan dalam diri masyarakat.

"Program SE@UC melibatkan mahasiswa untuk memberikan input dan pandangan dalam aktiviti-aktiviti keusahawanan seperti penjenamaan, pembungkusan, promosi dan jualan produk yang mereka jalankan bersama-sama komuniti setempat mengikut kedudukan IPT atau kolej komuniti yang terlibat.

"Ia juga sebagai menyokong usaha KPT dalam menggiat dan menggalakkan para pelajar dalam aktiviti seumpama itu," katanya yang juga pemenang Anugerah Keusahawanan Malaysia Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia 2016, dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata jalinan kerjasama ini melibatkan 50 pelajar dengan 10 keluarga di bandar yang berniaga secara kecil-kecilan dalam lingkungan lokasi enam IPT yang terlibat.

Katanya IPT diberi kebebasan untuk memilih sendiri 10 keluarga berkenaan dengan syarat mereka merupakan warganegara Malaysia, pemastautin tetap di kawasan setempat dan dapat memberikan komitmen yang tinggi terhadap program ini.

"Di UPM sendiri, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang dipilih untuk menyertai SE@UC ini adalah usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia dan kami berharap mereka dapat melihat program ini sebagai satu suntikan elemen baharu dalam aktiviti keusahawanan yang mereka jalankan.

"Selain itu ia dapat memberi manfaat kepada para pelajar yang berpeluang mempraktikkan ilmu yang mereka pelajari di universiti dengan memberikan input berguna kepada keluarga usahawan ini," tambah Mass Hareeza.

Menurut beliau lagi, pada akhir program SE@UC yang memakan tempoh satu semester pengajian, 50 pelajar yang terlibat akan menjadi usahawan atau syarikat komuniti yang mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Katanya enam bidang keusahawanan yang diberi perhatian adalah pertanian bandaran, jahitan dan sulaman, kraftangan, makanan sejuk beku, perniagaan dalam talian dan perkhidmatan dari rumah antaranya taska, urutan, spa dan bekam.

 

--Sumber dari Bernama

Date of Input: 28/05/2018 | Updated: 28/05/2018 | zul_mohd

MEDIA SHARING

CENTRE OF ENTREPRENEURIAL DEVELOPMENT AND GRADUATE MARKETABILITY
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1319
0389471124
C1568588375