AMIRIN KONGSI 8 PETUA PENTING TANAM ROCK MELON | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» ARTIKEL » AMIRIN KONGSI 8 PETUA PENTING TANAM ROCK MELON

AMIRIN KONGSI 8 PETUA PENTING TANAM ROCK MELON

Teks: Rudy Ludinata & Khairul Amirin

Tidak pernah bermimpi untuk mempunyai hasil tanaman yang boleh mendatangkan rezeki. Begitulah impian yang menjadi kenyataan kepada Khairul Amirin Khairudin, 23 yang mengetuai kumpulannya melaksanakan Projek Inkubator Top Agro @UPM.

Beliau bersama 6 lagi rakan iaitu Firdaus Mohd Radzi, 23 , Muhammad Imran Azman, 23, Muhamad Zahid Bin Ahmad Fozi, 23, Muhammad Hafiz Aiman Mohd Khairuddin, 22, Nur Amirul Haakim Tumiran, 23 dan Ahmad Shukri Yahya, 22  telah memilih untuk menanam 1,300 pokok rock melon di Unit Fertigasi, Ladang Agrotek, Taman Pertanian Universiti (TPU) UPM.

Program tersebut dibiayai sepenuhnya oleh Pusat Perhubungan Alumni (PPA) dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM dengan kerjasama Fakulti Pertanian, Majlis Perwakilan Pelajar dan Malaysian Agro Entrepreneurial Club for University Students (MyAgrosis) dan TPU yang menyediakan khidmat guna tanah seluas 2 hektar.

Projek bernilai RM 14,000.00 itu dimulakan pada 1 Januari 2021 dan telah menuai hasil buah rock melon sebanyak 3 tan pada 8 Mac 2021.

Khairul Amirin Khairudin berkata, kumpulannya menyahut cabaran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk merealisasikan harapan melahirkan graduan yang mempunyai atribut keusahawanan.

“Saya gembira dapat menyertai projek ini yang memberi pendedahan dan kemahiran tentang asas usahawan pertanian atau ‘Agro-prenuer’ ”, Katanya.

Selain itu, meraka diberi pendedahan latihan pertanian jangka panjang agar boleh mengusahakan pertanian menggunakan kaedah fertigasi sebagai mata pencarian mereka selepas bergelar graduan kelak. Ini secara tidak langsung dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan asnaf menerusi kemahiran keusahawanan dan insaniah.

Katanya, pokok rock melon mereka ditanam di dalam beg politin (polibag) menggunakan kaedah tanaman fertigasi iaitu tanaman moden tanpa menggunakan tanah. Seorang Pegawai Pertanian yang merupakan alumni UPM telah menjadi mentor untuk memantau kejayaan projek berkenaan.

Sepanjang 3 bulan mengusahakan tanaman tersebut Khairul Amirin dan kumpulannya telah berkongsi petua untuk memberi inspirasi kepada rakan pelajar yang berminat untuk mengusahakan tanaman berkenaan.

  • Persediaan Awal

Sebelum memulakan projek ini, jadual tanaman haruslah diambil kira dan dirancang dengan sebaiknya seperti hari penanaman, hari pembajaan dan hari penuaian bagi memastikan tanaman yang ditanam dapat mengeluarkan hasil yang sepatutnya dan dapat dijual pada musim yang sesuai. Manakala kawasan penanaman  fertigasi  juga  hendaklah  dibersihkan  terlebih dahulu daripada sebarang sisa dan makhluk perosak bagi mengurangkan risiko penyakit serta serangan dari perosak tanaman.

  • Penyemaian benih

Pilih biji  benih yang berkualiti untuk disemai di dalam dulang. Hal ini menunjukkan bahawa sebelum pembenihan, benih dirawat untuk memastikan hanya pokok rock    melon yang sihat saja  boleh ditanam di dalam  sistem  fertigasi. Lazimnya, anak  benih  yang disemai di dalam dulang akan tumbuh membesar dalam tempoh 10 hari hingga   2  minggu sahaja.

  • Pemindahan Anak Benih

Kerja-kerja pemindahan anak benih boleh dilakukan pada usia antara 10 - 12 hari atau jika anak benih sudah mempunyai daun keempat sebesar ibu jari tangan.  Anak benih mula dipindahkan dan di tanam di dalam bekas ‘autopot’. Anak pokok hendaklah dipegang dengan  baik  agar  tidak  tercabut  akarnya. Untuk kerja-kerja pemindahan  anak  pokok  ke  dalam beg politin, satu lubang perlu digali pada ‘cocopeat’ di  tengah tengah  beg politin  dengan ukuran  4 cm  lebar  x  4 cm  panjang  x  4 cm  tinggi.

  • Mengikat Pokok

Tali  rafia  digunakan  dengan  diikat  pada  pangkal  pokok  rock melon. Kemudian pucuk  yang  keluar  dan  semakin  memanjang    dililit  di sekeliling  tali  rafia. Kerja melilitkan  pucuk  pokok  mesti  dilakukan bagi  memastikan pokok tumbuh tegak ke atas. Biasanya, kerja  melilit  pokok  dilakukan serentak dengan kerja-kerja membuang tunas air.

Tujuan utama pokok diikat ialah untuk menyediakan sokongan kerana  pokok rock melon  adalah  sejenis  tumbuhan  jenis  menjalar  dan  tidak  mempunyai  batang  yang  tegak.  Oleh   itu,   sistem   sokongan   menggunakan   tali   rafia   diperlukan   agar   pokok   dapat membesar dan tumbuh dengan  elok dan menegak, mendapat  cahaya dengan secukupnya dan batang tidak patah serta buah tergantung dan bersih.  Pokok melon juga boleh diikat selepas  dua  minggu    daripada  tarikh  anak  pokok  dipindahkan. Ini  kerana  pada  usia  ini, pokok melon sudah mula menjalar.

  • Pemangkasan

Kerja-kerja pemangkasan hendaklah dilakukan dengan membuang tunas yang keluar di batang utama.  Tunas tersebut kebiasaannya dipanggil tunas air yang mula keluar   ketika  pokok   berusia   3 minggu.   Kerja-kerja   pemangkasan   dilakukan untuk mengelakkan tunas  air  membesar.  Proses ini akan memberi kesan kepada batang utama dan membantu pembesaran buah.  Jika dibiarkan, tunas air akan membesar dan mencuri nutrien yang  diperlukan  oleh  batang  dan  buah. Akibatnya pokok akan menjadi tidak sihat dan buah yang dituai kelak akan kurang berkualiti.

Selain itu, daun-daun tua juga perlu dibuang supaya mengelakkan penyakit.  Pembuangan daun-daun  tua dilakukan  setelah  mengutip  hasil. Proses  pemangkasan  boleh  dilakukan dengan  menggunakan  pisau,  gunting atau pemotong  dahan. 

  • Pembajaan

Pokok membesar dengan unsur oksigen, hidrogren dan karbon dioksida daripada udara. Namun begitu, sebatian baja dengan 14  jenis  unsur amat diperlukan untuk tumbesaran pokok. Sebatian ini terdiri daripada Nitrogen,  Fosforus,  Kalium, Kalsium,   Sulfat, Magnesium,   Mangan,   Ferum   (zat   besi),   Kuprum,   Zink,   Boron, Ammonium, Molibdenum dan Natrium. Oleh itu, pastikan semua sebatian ini larut di dalam air agar ia dapat diagihkan secara sekata ke semua pokok.

Baja  boleh  disediakan  dalam frekuensi yang berbeza setiap hari atau mingguan mengikut keperluan  pengairan,  jenis  tanah,  dan  faktor-faktor  lain.  Biasanya, pengairan dibuat 5 kali sehari.  Usah  teragak-agak  untuk menyiram  pokok jika  faktor cuaca menyebabkan pokok memerlukan lebih banyak sumber air terutamanya pada musim panas dan kering.

  • Pendebungaan

Kerja-kerja pendebungaan   dilaksanakan dengan di   mana   stamen bunga   jantan   digeselkan ke stigma bunga   betina. Hal ini  boleh  meningkatkan  hasil  buah  rock  melon.  Untuk   melakukan pendebungaan,  pilih  bunga  jantan  yang  sihat  kemudian  buang  semua  kelopak  bunga.  Pendebungaan  mestilah  dilakukan  pada  waktu  pagi  iaitu  bermula pada jam  10  pagi  kerana  bunga  kembang  sepenuhnya. Hasil  pendebungaan  hanya boleh dilihat selepas 48 jam.

  • Penuaian

Buah rock melon boleh dituai apabila daun pengasuh  (flag leaf) telah kering dan  diikuti  dengan  adanya    tanda-tanda  retak  mengelilingi  pangkal  buah.    Semua  hasil boleh  diasingkan  mengikut  saiz  untuk  dijual  di  pasaran.   Alat pemotong untuk memetik  buah mestilah  tajam agar tangkai dipotong dengan  elok dan tidak  menurunkan  kualiti  hasil  tuaian.

“Walaupun berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 3 tan, kami juga menghadapi masalah yang dapat memberi pelajaran kepada kami’, kata Khairul Amirin.

Sebanyak 50 peratus pokok telah diserang oleh penyakit dan serangga perosak. Namun begitu hasilnya tetap boleh dijual dengan harga yang rendah kerana gred dan kualiti buah tidak mencapai yang diharapkan. Hal ini kerana, tapak fertigasi tersebut kurang diselenggara dengan baik sebelum ini. Ia menjadi perumah kepada serangga perosak tanaman seperti lalat putih, lalat buah dan kumbang. Oleh yang demikian, hasil buah Gred A rendah disebabkan oleh serangan penyakit dan makhluk perosak.

Pada masa yang sama, Pandemik COVID19 juga telah mengekang pergerakan ahli kumpulan untuk memantau tanaman. Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah menghadkan perjalanan, urusan penjagaan tanaman dan proses jual beli buah.

Kesimpulannya, program ini telah memberi satu indikasi bahawa ramai pelajar UPM minat dan mampu menjadi tunjang dan nadi kepada pembangunan usahawan muda kelak hatta membantu dalam menyumbang kepada ekonomi negara. Tambahan pula  ia dapat membantu meningkatkan kemahiran insaniah dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran mereka selepas bergraduat kelak melalui pengalaman dan pembelajaran yang diperolehi sepanjang program ini berlangsung.

Malah yang lebih membanggakan Khairul Amirin dan kumpulannya telah berjaya mendaftarkan syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan berasaskan pertanian pada masa hadapan.

Kesinambungan projek pertanian seperti ini bukan sahaja memberi rezeki kepada mereka, malah akan membantu meningkatkan sosio-ekonomi masyarakat setempat dengan aktiviti jualan hasil pertanian serta dapat mencungkil bakat terpendam pelajar dalam mencuba sesuatu perkara yang baharu.

Tarikh Input: 15/06/2021 | Kemaskini: 15/06/2021 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXDcQAw~