Melatih Diri Berfikir Di Luar Kotak | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» ARTIKEL » Melatih Diri Berfikir di Luar Kotak

Melatih Diri Berfikir di Luar Kotak

Melatih Diri Berfikir di Luar Kotak
(Oleh: Rudy Ludinata & Nursazila Maulat Mohd Sani)

”Jika kita tidak menemukan penyelesaian satu masalah,
mungkin saja kita akan menjawab pertanyaan itu dengan salah.”

Bagaimana cara melatih diri untuk berfikir di luar kotak?

Untuk menyelesaikan satu masalah, kita sudah tidak boleh selalu menggunakan pola fikir lama, kita perlu mencari cara baharu dalam melihat masalah itu. Ini yang dikatakan oleh Steven Levitt dan Stephen J. Dubner dalam bukunya bertajuk Think Like a Freak – yakni berfikir seperti orang aneh.

Hal ini memang tidak mudah, kerana pada dasarnya, manusia tidak ingin kelihatan berbeza. Mereka ingin sama, agar boleh diterima di dalam kelompoknya. Namun, tak selamanya ‘kalau kucing keluar tanduk, barulah ayam boleh bersusu’ - sesuatu yang awalnya mustahil untuk diselesaikan, mungkin boleh diselesaikan  dengan cara yang baharu.

Berfikir di luar kotak bermaksud, berfikir di luar kebiasaan atau secara ringkasnya berfikiran kreatif. Kaedah pemikiran ini tidak terhad atau dikawal oleh peraturan semasa atau tradisi. 3 cara untuk melatih otak kanan supaya boleh berfikir di luar kotak adalah seperti berikut:

  • Pertama, berfikirlah seperti kanak-kanak. Umum mengetahui, kanak-kanak sememangnya mempunyai daya imiginasi yang tinggi. Mereka suka dan berani bertanya. Kadangkala, soalan itu bersifat mustahil. Menurut pakar motivasi Anthony Robbins, hidup kita akan bertambah baik selaras dengan soalan-soalan yang kita tanya kepada diri kita. Dengan bertanyakan soalan, ia melatih kita untuk berfikir.

 

  • Kedua, mengembaralah. Bawa diri ke tempat yang asing. Tempat yang kita tidak pernah pergi. Di sana, lakukan sesuatu yang tidak pernah kita lakukan. Bergaullah dengan masyarakatnya. Pelajarilah cara hidup mereka yang mungkin berbeza dengan kita.

Kita perlu sentiasa merancang untuk belajar dan melakukan sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran. Buatlah sesuatu yang boleh membuka minda untuk keluar dari kotak kebiasaan. Keinginan dan kesanggupan untuk belajar tentang perkara-perkara yang tidak diketahui dapat membawa idea-idea unik, segar dan baharu kepada kita.

  • Ketiga, Iqra dan refleksi. Membacalah sebanyak-banyaknya. Bacalah topik daripada beragam bahan, variasi sumber dan isi kandungan. Namun begitu, usah berhenti hanya di situ. Seperti yang dinyatakan di atas, baca dan renung kembali apa yang dibaca itu.

Setiap kali membaca satu artikel, bertanyalah kembali kepada diri kita. Bagaimana pesanan yang disampaikan oleh penulis itu boleh kita gunakan dalam hidup atau kerjaya. Lalu, cuba baca artikel lain daripada penulis yang berbeza pula. Ironinya, apabila 2 pesanan daripada 2 artikel berlainan itu digabungkan, tidak mustahil kita boleh mendapat 1 penyelesaian yang lebih baik.

Tuntasnya, penyelesaian cara lama tidak selamanya benar. Ketika kita berusaha meninggalkan cara lama, maka kita perlu cara berfikir yang baharu. Sedari atau tidak, tangan kita seolah-olah dibawa ke pintu dunia yang semakin membatasi pergerakan dan perilaku kita.

Selamat datang ke dunia VUCA. VUCA menggambarkan keadaan dunia yang tidak stabil, ketidakpastian, rumit dan kabur. Sudah tentu, pola fikir kita, harus lebih kreatif untuk mendepani semua cabaran baharu ini.

Maka, berfikirlah dari luar kotak.

Tarikh Input: 17/02/2023 | Kemaskini: 07/03/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXETBAs~