ANUGERAH KEBOLEHPASARAN GRADUAN UPM 2022: FSKTM UNGGULI TEMPAT PERTAMA | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » ANUGERAH KEBOLEHPASARAN GRADUAN UPM 2022: FSKTM UNGGULI TEMPAT PERTAMA

ANUGERAH KEBOLEHPASARAN GRADUAN UPM 2022: FSKTM UNGGULI TEMPAT PERTAMA

SERDANG 18 OKTOBER: Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM)  UPM mengungguli tempat pertama Anugerah Kebolehpasaran Graduan UPM 2022. FSKTM telah mencapai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 100 peratus dengan  83.5 peratus graduan bekerja.

Anugerah berkenaan disampaikan di Majlis Perasmian Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM MyCareer @ MOHE 2023 yang berlangsung di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) UPM di sini.

Menurut Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), anugerah tersebut diberikan untuk memberi penghargaan dan meraikan kejayaan Fakulti-fakulti dalam usaha merealisasikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Naib Canselor, Pengurusan Utama UA (TNC, Dekan/ Pengarah) yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu kadar kebolehpasaran graduan.

“Definisi kebolehpasaran graduan seperti yang digariskan oleh Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan KPT 2021 - 2025 ialah graduan yang memiliki kerjaya dalam tempoh enam (6) bulan selepas menamatkan pengajian dengan mengambil kira sama ada graduan itu bekerja, melanjutkan pengajian, meningkatkan kemahiran dan menunggu penempatan pekerjaan.

“Kriteria pemilihan pemenang anugerah tahun ini, bukan hanya melihat kepada peratus keseluruhan kadar GE sahaja. Malah, kita melihat juga peratus graduan bekerja selepas enam bulan bergraduat”, Jelasnya.

Pada tahun 2022, sebanyak lapan (8) buah Fakulti telah mencapai kadar 100 peratus kebolehpasaran graduan di Fakulti masing-masing. Selain FSKTM, tujuh (7) Fakulti lain yang turut mencapai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 100 peratus ialah (a) Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) - (77.7 peratus graduan bekerja), (b) Sekolah Perniagaan & Ekonomi (SPE) - (77.3 peratus graduan bekerja), (c) Fakulti Ekologi Manusia (FEM) - (73.4 peratus graduan bekerja), (d) Fakulti Sains (FS) - (73.1 peratus graduan bekerja), (e) Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi (FBMK) - (71.1 peratus graduan bekerja), (f) Fakulti Bioteknologi & Sains Biomolekul (FBSB) - (69.1 peratus graduan bekerja dan (g) Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar (FPAS) - (68.0 peratus graduan bekerja).

Mengulas lanjut, beliau berkata, Fakulti-fakulti lain yang tidak memenangi anugerah masih tetap cemerlang kerana kajian tersebut membuktikan bahawa kesemua 16 Fakulti di UPM telah berjaya melebihi kadar 95 peratus kebolehpasaran graduan yang disasarkan oleh UPM dan kadar 85.4 peratus yang disasarkan oleh KPT (RMKe-12).

Dalam pada itu, Prof. Madya Dr Razali Yaakob, Dekan FSKTM berkata, fakulti amat berbangga dengan pencapaian tersebut yang menunjukkan graduan FSKTM mempunyai kelebihan yang diperlukan oleh industri.

“Disamping itu, ada juga graduan yang proaktif memulakan perniagaan sendiri dan tidak kurang juga melanjutkan pengajian.

“Kita yakin ia bukan hanya pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga sahsiah dan keterampilan diri pelajar yang telah dibangunkan melalui pelbagai aktiviti sepanjang pengajian mereka di kampus.”

“Kita mengucapkan terima kasih kepada para pendidik dan semua pihak di UPM yang sentiasa berusaha mendidik dan membentuk watak graduan kita. Tidak lupa juga usaha semua pihak untuk menjalin hubungan baik dan bekerjasama dengan pihak industri, melalui penglibatan dalam perkongsian pengalaman dan kemahiran dengan pelajar di bilik kuliah, lawatan ke industri serta dalam projek tahun akhir”, Katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Terdahulu, berdasarkan kepada Laporan Kajian Pengesanan Graduan UPM tahun 2022, UPM menduduki tempat pertama dalam kalangan Universiti Awam dengan kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4 peratus dan status graduan (warganegara) bekerja sebanyak 73.7 peratus, telah membuktikan bahawa program-program pengajian yang ditawarkan oleh UPM adalah berkualiti dan menepati kehendak industri.

Kesemua hadiah disampaikan oleh Puan Fazidah binti Mustafa, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang turut dihadiri Encik Mahbob Yusof, Ketua Pustakawan UPM yang mewakili Jawatankuasa Pengurusan UPM. - CEM

Tarikh Input: 24/10/2023 | Kemaskini: 09/11/2023 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdHAu~