HO JIA DA MENANG ANUGERAH KEUSAHAWANAN SHELL TIRAM WAWASAN DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-47 UPM | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » HO JIA DA MENANG ANUGERAH KEUSAHAWANAN SHELL TIRAM WAWASAN DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-47 UPM

HO JIA DA MENANG ANUGERAH KEUSAHAWANAN SHELL TIRAM WAWASAN DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-47 UPM

 Ho Jia Da

 

SERDANG, 24 November 2023 — Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) UPM, Ho Jia Da muncul sebagai penerima Anugerah Keusahawanan Shell Tiram Wawasan di Majlis Konvokesyen ke-47 Universiti Putra Malaysia yang diadakan hari ini, di sini.

 

Ho Jia Dia menerima anugerah itu daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tuanku Canselor UPM di Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

 

Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000.00, pingat emas dan sijil pencapaian yang ditaja oleh Syarikat Tiram Wawasan Sdn. Bhd. yang merupakan seorang pengusaha berjaya Stesen Minyak jenama Shell di Malaysia.

 

Sambil melahirkan rasa terima kasih, Ho Jia Da mengulas bahawa beliau amat berterima kasih atas anugerah itu kerana ia bukan sahaja menandakan pencapaian peribadi tetapi juga pengiktirafan tinggi untuk semua graduan. Penghargaan itu menjadi sumber motivasi untuk terus berkecimpung dalam bidang keusahawanan dan terus menyumbang kepada UPM dan masyarakat.

 

“Sejak memasuki universiti, saya telah menceburi pelbagai perniagaan, daripada menjual kopi di bazar UPM hinggalah menubuhkan syarikat permulaan teknologi bernama Xlektrik. Saya telah mencipta platform yang memudahkan tempahan makanan daripada vendor di sekitar UPM.

 

“Kemudian, saya telah memperkenalkan EduLab—permainan kad yang direka untuk mengajar Bahasa Inggeris untuk murid sekolah rendah hingga menengah. Saya telah meneroka pelbagai jenis perniagaan sebagai medan percubaan sebelum mendepani dunia perniagaan sebenar di luar sana kelak," dedah Ho Jia Da.

 

Sepanjang empat tahun pengajiannya, Ho Jia Da bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga telah memenangi pelbagai anugerah berprestij di pelbagai peringkat antaranya Anugerah Perdana Belia Negara 2022 bagi kategori Ikon Reka Tekno, Anugerah Ikon Siswa Johor (Keusahawanan) 2022,  Tempat Pertama Pertandingan Usahawan Inovasi – Piala Menteri Pengajian Tinggi, Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda Pingat Emas dan Tempat Kedua Cabaran Artificial Intelligence (AI) Malaysia Techlympics.

 

Sepanjang penglibatan dalam aktiviti keusahawanan di universiti, beliau telah berjaya meraih keuntungan melebihi lima puluh ribu ringgit Malaysia.

 

Menawarkan nasihat kepada rakan-rakan pelajar UPM, beliau menggalakkan mereka untuk melibatkan diri dalam keusahawanan di mana ia mencabar diri untuk berani menghadapi risiko dan meneroka ufuk baharu pelbagai peluang perniagaan. Hal ini, bukan sahaja membolehkan pelajar menjana pendapatan semasa belajar tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan untuk orang lain selain menyelesaikan isu masyarakat.

 

Penyertaan aktif beliau dalam aktiviti keusahawanan universiti, khususnya program CEM, boleh menjadi landasan untuk menjadi usahawan yang lebih berjaya selepas bergraduat. Kejayaan Ho Jia Da membuktikan bahawa dedikasi, inovasi dan minda keusahawanan dapat memberi inspirasi kepada rakan-rakannya untuk memulakan usahaniaga.– CEM.

++++

Fakta:

Anugerah Keusahawanan Shell Tiram Wawasan dikuasakan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) untuk mengiktiraf para graduan yang aktif menjalankan perniagaan dan aktif menyertai pelbagai program dan pertandingan keusahawanan sepanjang mereka bergelar pelajar UPM.

Maklumat lanjut anugerah di sini.

Tarikh Input: 27/11/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdIAh~