'INTERNATIONAL CAREER & ENTREPRENEURSHIP' 2023 DI BALI INDONESIA: KEMBARA KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN ANTARABANGSA CAPAI MATLAMAT | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » 'INTERNATIONAL CAREER & ENTREPRENEURSHIP' 2023 DI BALI INDONESIA: KEMBARA KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN ANTARABANGSA CAPAI MATLAMAT

'INTERNATIONAL CAREER & ENTREPRENEURSHIP' 2023 DI BALI INDONESIA: KEMBARA KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN ANTARABANGSA CAPAI MATLAMAT

Bali Indonesia, 5 September - Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) Universiti Putra Malaysia telah berjaya menganjurkan Program 'International Career & Entrepreneurship Enhancement' 2023 dari 30 Ogos hingga 4 September 2023 di di Universitas Udayana, Bali, Indonesia.

Program yang dianjurkan itu telah berjaya mencipta terobosan dalam memperkukuhkan aktiviti pembangunan kerjaya graduan dan keusahawanan pelajar UPM. Ia menjadi pelantar berharga bagi pertukaran pengetahuan dan pengalaman mengenai pembangunan kerjaya dan keusahawanan di antara dua universiti awam itu.

Menurut Pengarah CEM, Prof Madya Dr. Mass Hareeza Ali, program ini sebagai inisiatif yang bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada usahawan pelajar mengenai perniagaan usahawan di peringkat global, khususnya di destinasi eksotik seperti Pulau Bali.

"Program ini membolehkan pelajar memahami cabaran dan peluang dalam perniagaan antarabangsa, serta membangunkan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi global.

“Pelajar boleh melihat peluang-peluang baharu dalam arena perniagaan global. Ini adalah satu langkah positif dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkasakan generasi muda dalam usaha mencapai matlamat penciptaan pekerjaan dan peningkatan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang diimpikan oleh kerajaa kita", katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, pelajar tahun tiga Fakulti Pertanian Siti Sarah Sahrizal berkata beliau sangat bertuah kerana berpeluang untuk melihat projek-projek keusahawanan tempatan yang unik berfokus kepada industri pelancongan global di Bali.

"Saya telah melawat pelbagai premis perniagaan dan menyaksikan cara produk perniagaan dipasarkan di tengah persaingan sengit di Bali, yang dikenali sebagai salah satu destinasi pelancongan dunia yang terkenal.

“Saya teruja melihat sisa buangan kayu boleh dimanfaatkan menjadi produk baharu setelah diolah semula. Contohnya sisa dahan kayu itu diukir menjadi boneka haiwan kecil yang comel. Sudah tentu ia boleh menjadi pendapatan kepada pengusahanya.

“Saya percaya kreativiti pengusaha kraftangan di Bali telah melestarikan Ekonomi Kitaran (Circular Economy) tanpa beliau sedari", katanya ketika ditemui sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA2 hari ini.

Beliau yang merupakan salah seorang usahawan pelajar di UPM nyata teruja kerana kali pertama mengambil bahagian dalam program ini, selain seronok menimba pengalaman baharu.

Selain memberi peluang kepada pelajar untuk meraih pengetahuan baru, program ini juga membolehkan pegawai CEM untuk mempelajari pendekatan yang digunakan oleh Universitas Udayana dalam membangunkan kerjaya graduan dan keusahawanan di peringkat wilayah dan negara.

Salah satu kejayaan yang menonjol ialah Program Mahasiswa Wirausaha (PMW), yang menjadi sebahagian daripada strategi Universitas Udayana dalam membina bakat keusahawanan dalam kalangan pelajar.

PMW menawarkan pelbagai kemudahan termasuk latihan keusahawanan, perantisan, bootcamp perniagaan, sokongan kewangan dan bantuan perniagaan. Program tersebut telah membantu mencapai visi dan misi kerajaan Indonesia untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi melalui peningkatan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta penciptaan pekerjaan.

Manakala itu, Universitas Udaya juga melaksanakan Program Wirausaha Merdeka (WMK) yang juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memajukan pembangunan keusahawanan pelajar, dan ia diselaraskan dengan Program Perdana Kampus Merdeka yang diperkenalkan oleh Presiden Jokowi.

Program tersebut merupakan program perdana Kampus Merdeka daripada Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Republik Indonesia (Kemendikbudristek), di mana program ini bertujuan memberi pembelajaran dan pembangunan diri untuk menjadi bakal usahawan melalui aktiviti di luar kelas kuliah.

Ia menunjukkan komitmen Universitas Udayana dalam membina generasi pelajar yang berkemahiran keusahawanan yang kuat, yang boleh memberikan sumbangan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Program WMK berlangsung selama 20 minggu (900 jam) iaitu bersamaan 20 kredit, bermula daripada beberapa peringkat membangunkan minda dan kemahiran asas keusahawanan, latihan di Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Bootcamps untuk menyediakan model dan prototaip perniagaan, dan berakhir  dengan ekspo dan sidang kemuncak pelaburan .

Menurut Drs. I Ketut Kartika, Ketua Bahagian Kemahasiswaan, Universitas Udayana berkata, keusahawanan menjadi salah satu sasaran utama di Indonesia. Hal ini kerana Indonesia pada masa ini masih belum layak untuk bergelar negara maju kerana jumlah usahawan masih belum memenuhi piawaian antarabangsa. Hal ini tentunya boleh dimulakan dari peringkat pelajar di mana mereka sudah diajar tentang pemikiran kritikal dan bersedia untuk menjadi barisan hadapan dalam membuka peluang pekerjaan.

“Program WMK itu selaras dengan Peraturan Presiden No 2 Tahun 2022 iaitu berhasrat untuk menjangkau sejuta usahawan muda pada 2024. Sudah tentu pelajar semasa kelak akan menjadi usahawan muda.

“Jangan selalu memikirkan bagaimana untuk mendapatkan pekerjaan selepas tamat pengajian, mereka harus berfikir bagaimana untuk mencipta pekerjaan,” katanya.

Program 'International Career & Entrepreneurship' 2023 adalah satu contoh kejayaan dalam usaha untuk menanda aras aktiviti pembangunan kerjaya graduan dan keusahawanan pelajar di peringkat global.

Ia bukan hanya memberikan peluang kepada pelajar dan pegawai untuk memahami perniagaan antarabangsa tetapi juga membina jaringan dan mengembangkan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam ekonomi global yang serba cepat.

Melalui usaha berterusan seperti ini, CEM dapat membantu memenuhi visi dan misi negara amnya dan UPM khususnya selaras dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu untuk Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang. Sekaligus, merealisasikan Pelan Tindakan Keusahawanan (PTK) Institusi Pendidikan Tinggi 2021-2025 dan pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Melangkah kehadapan, Universiti Putra Malaysia dan Universitas Udayana akan merencanakan aktiviti pertukaran pelajar dan pengajar  keusahawanan pada masa akan datang.

Hal ini akan memberi peluang kepada pelajar dan pegawai kedua-dua universiti untuk mendapatkan lebih banyak pengalaman dalam persekitaran antarabangsa dan memperluaskan wawasan mereka tentang keusahawanan global – CEM.

Tarikh Input: 06/09/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdFAB~