KARNIVAL KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN UPM MYCAREER @MOHE 2023 CAPAI MATLAMAT 2,000 PENGUNJUNG | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » KARNIVAL KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN UPM MYCAREER @MOHE 2023 CAPAI MATLAMAT 2,000 PENGUNJUNG

KARNIVAL KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN UPM MYCAREER @MOHE 2023 CAPAI MATLAMAT 2,000 PENGUNJUNG


SERDANG 18 OKTOBER: Lebih 2,000 pengunjung hadir di Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM MyCareer @ MOHE 2023 yang berlangsung di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) UPM di sini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula pada 17 – 18 Oktober 2023 di sini menyaksikan penyertaan 20 majikan yang menawarkan 1,000 peluang kerjaya, selain siri bengkel dan seminar yang merangkumi pelbagai topik seperti perkongsian bersama syarikat, tips penampilan diri, penulisan resume berimpak tinggi dan petua temuduga.

Program ini diyakini berupaya membuka peluang keemasan kepada para pelajar dan graduan untuk membina rangkaian perhubungan dengan pihak industri. Banyak perkara boleh dijadikan topik perbincangan, dari aspek skop dan laluan kerjaya hinggalah kepada penciptaan potensi daripada keupayaan masing-masing.

Perasmian program disempurnakan oleh Puan Fazidah binti Mustafa, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Turut hadir ialah  Encik Mahbob Yusof, Ketua Pusatakawan UPM yang mewakili Jawatankuasa Pengurusan UPM.

Menurut beliau, penganjuran program sebegini, merupakan satu pelantar kepada pelajar dan graduan berinteraksi dengan industri bagi mendapatkan maklumat peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang, termasuk keusahawanan.

 “Hari ini, pasaran kerja dan kemahiran yang diperlukan dalam pasaran kerja sentiasa berubah. Semasa dunia bergerak ke arah tenaga kerja digital di mana teknologi sering dilihat sebagai ancaman kepada modal insan, kadang-kadang kita lupa hakikat bahawa di hujung hari, syarikat akan sentiasa memerlukan bakat manusia.

 “Tanpa bakat yang betul, seseorang tidak dapat memanfaatkan teknologi yang ada pada kita. Menurut kajian oleh McKinsey, bakat yang unggul boleh menjadi sehingga lapan kali lebih produktif ,” jelasnya lagi.

Karnival yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM pada setiap tahun ini merupakan salah satu usaha UPM untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UPM.

Terdahulu, UPM telah berjaya mencapai 99.4 peratus kadar kebolehpasaran graduan tahun 2022 melalui kajian Sistem Kajian Pengesanan Graduan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) – CEM.

Tarikh Input: 22/10/2023 | Kemaskini: 22/10/2023 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdKAN~