NUR AINA AMIRAH, GRADUAN PERTAMA MENANGI ANUGERAH BAHARU SHELL MYDINAR DI MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » NUR AINA AMIRAH, GRADUAN PERTAMA MENANGI ANUGERAH BAHARU SHELL MYDINAR DI MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47

NUR AINA AMIRAH, GRADUAN PERTAMA MENANGI ANUGERAH BAHARU SHELL MYDINAR DI MAJLIS KONVOKESYEN UPM KE-47

 

SERDANG, 24 November 2024 – UPM memperkenalkan anugerah baharu di Majlis Konvokesyen UPM ke-47 pada tahun 2023 iaitu Anugerah Shell MyDinar yang ditaja oleh Syarikat MyDinar Kiosk yang menjalankan perniagaan jualan bahan api jenama Shell di Subang Jaya, Selangor.

 

Bercakap kepada pemberita selepas majlis penganugerahan pertama di Majlis Konvokesyen UPM ke-47 di Pusat Kebudayaan dan Keseniaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, Rohani Abdul Jamil yang merupakan pemilik perniagaan itu berkata, beliau berbesar hati menyumbangkan hadiah berkenaan untuk tempoh lima tahun sebagai mengiktiraf peranan mahasiswa UPM yang belajar sambil berniaga.

 

“Saya tertarik dengan idea pelajar yang berminat menubuhkan syarikat pemula secara kecil-kecilan di universiti. Daripada perniagaan kecil itu, ia berkembang dan akhirnya boleh menggaji rakan-rakan lain pula menggunakan kaedah ‘dropship’ dalam perniagaan miliknya.

 

“Usaha memupuk keusahawanan yang dibuat oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM ini menyebabkan saya berminat untuk turut sama memberi sokongan kepada usahawan siswa UPM”, jelasnya lagi.

 

Beliau telah bersetuju menyumbang hadiah wang tunai RM5,000.00, pingat emas berbentuk syiling dinar emas dan sijil pencapaian untuk tempoh lima tahun mulai tahun 2023 hingga 2027.

 

 

Sementara itu, Nur Aina Amirah Azmi, graduan Bacelor Pertanian (Sains Peternakan), Fakulti Pertanian telah dinobatkan sebagai penerima sulung Anugerah Shell MyDinar pada tahun ini. Beliau menerima anugerah tersebut daripada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Tuanku Canselor UPM.

 

“Alhamdulillah saya rasa sangat bersyukur atas penganugerahan ini. Saya amat gembira apabila segala penat lelah saya belajar sambil menjalankan perniagaan ini membuahkan hasil.”, katanya ketika ditemui selepas majlis konvokesyen Sidang ke-2 Sesi Pertama di sini, hari ini.

 

Beliau menjalankan perniagaan servis pencetakan gambar polaroid dan perkhidmatan penghantaran hadiah kejutan untuk pelbagai perayaan seperti hari jadi sejak di tahun pertama pengajian dengan mendaftarkan perniagaan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2019.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, minat untuk menjalankan perniagaan semasa belajar perlu dilakukan bersungguh-sungguh. Jika tidak mulakan, ia hanya akan tinggal menjadi angan-angan kosong.

 

Beliau turut mengikuti pelbagai program keusahawanan yang dijalankan oleh pihak CEM. Setiap program yang diikuti akan memberikan impak yang besar kepada diri sendiri dan juga perniagaan. Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, beliau berpesan agar tidak sesekali melupakan tugas hakiki sebagai pelajar.       

 

Sementara itu, Prof. Madya Dr Mass Hareeza Ali, Pengarah CEM pula berkata, penglibatan pihak industri dalam aktiviti keusahawanan universiti amat dialu-alukan. Manfaat hubungan Universiti-Industri ini akan melonjak manfaat, kepakaran, perspektif dan pengalaman tersedia oleh kedua-dua pihak.

 

“Sumbangan penajaan hadiah oleh Syarikat Mydinar Kiosk dapat mengiktiraf para graduan usahawan yang berusaha mencipta pekerjaan bukan sahaja untuk dirinya. Malah, memberi pekerjaan kepada orang lain.”, jelasnya lagi.

 

++++

Fakta:

Anugerah Shell MyDinar dikuasakan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) untuk mengiktiraf para graduan yang aktif menjalankan perniagaan dan aktif bagi kedua-dua aktiviti keusahawanan dan kerjaya di UPM sepanjang mereka bergelar pelajar UPM.

Maklumat lanjut anugerah di SINI.

Tarikh Input: 28/11/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdHAS~