UNISCENT CIPTAAN PELAJAR UPM MENANG TEMPAT KETIGA NMEPC 2022 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » UNISCENT CIPTAAN PELAJAR UPM MENANG TEMPAT KETIGA NMEPC 2022

UNISCENT CIPTAAN PELAJAR UPM MENANG TEMPAT KETIGA NMEPC 2022

Melaka, 14 Mei 2023 – Pelajar tahun satu Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya mendapat 2 anugerah dalam Pertandingan National Micro Enterprise Pitching (NMEPC) 2022 iaitu tempat ketiga secara keseluruhan dan tempat pertama bagi kategori Teknologi dan Inovasi. Setiap anugerah menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000.00, plak dan sijil.

Mohamad Azeem Bin Mohamad Isa dan Wilson Pang Khong You daripada Bacelor Perakaunan, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM sangat teruja apabila diumumkan sebagai kumpulan ketiga terbaik keseluruhan dalam pertandingan ini yang melibatkan 46 kumpulan daripada pelajar IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Mereka yang dibimbing oleh Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) sebagai mentor membawa produk lilin beraroma yang diperbuat daripada minyak masak kitar semula serta diinovasikan dengan menonjolkan aroma daripada buah tempatan iaitu buah rambutan selain aroma daripada pandan dan serai.

“Ini merupakan pertandingan pertama saya setelah bergelar pelajar UPM di peringkat nasional dan banyak produk yang hebat dipertandingkan oleh IPT lain. Saya sangat bersyukur kerana produk Uniscent berjaya mendapat tempat ketiga bagi keseluruhan produk. Selain itu, disini saya banyak belajar daripada pihak industri dalam mengembangkan lagi produk dan perniagaan kami. Terima kasih tidak terhingga kepada mentor kami Prof. Madya Dr. Mass Hareeza  dan pihak CEM yang banyak membimbing dan menyediakan keperluan kami sepanjang pertandingan ini, ” kata Azeem selepas majlis penyampaian hadiah berlangsung

UPM turut diwakili oleh satu lagi kumpulan iaitu Rain Coffee bagi kategori makanan dan minuman yang membawa produk baharu iaitu Bunga Telang Café Latte. Minuman unik ini menggabungkan rasa kopi yang kaya dengan aroma dan warna biru cerah serta memberi manfaat kesihatan kepada penguna.

Pertandingan ini merupakan salah satu usaha pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membentuk pelajar yang holistik dan seimbang serta cenderung untuk menjadikan keusahawanan sebagai kerjaya pilihan. Selain itu, platform ini dapat memberi peluang kepada pelajar IPT untuk mendapat pengiktirafan produk yang dihasilkan dan menerima suntikan dana bagi memulakan atau mengembangkan perniagaan agar lebih berdaya saing.

Pertandingan akhir dan penyampaian hadiah ini telah disampaikan oleh YBrs. Puan Fazidah Mustafa Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT yang turut diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) Universiti Teknikal Malaysia Melaka yang menjadi penganjur bersama di Hotel Bayou Lagoon Park Resort, Melaka.

Tarikh Input: 15/05/2023 | Kemaskini: 15/05/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEbIAr~