UPM CAPAI 99.4% KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN 2022 DALAM KAJIAN PENGESANAN GRADUAN KPT | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » UPM CAPAI 99.4% KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN 2022 DALAM KAJIAN PENGESANAN GRADUAN KPT

UPM CAPAI 99.4% KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN 2022 DALAM KAJIAN PENGESANAN GRADUAN KPT

SERDANG 15 September – Universiti Putra Malaysia (UPM) mencapai 99.4 peratus kadar kebolehpasaran graduan melalui kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Sistem Kajian Pengesanan Graduan.

Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 4 peratus berbanding 95.4 peratus pada tahun 2021 melepasi sasaran 95 peratus tahun 2022 serta sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu 85.4 peratus sekali gus menjadikan UPM antara tertinggi dalam kalangan Universiti Awam pada tahun 2022.

Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, kajian tersebut memberikan petunjuk lebih daripada separuh graduan UPM pada tahun 2022 bekerja dalam bidang yang dipelajari termasuk 12 peratus bekerja dalam sektor pertanian, perladangan, perikanan, perhutanan dan industri makanan

“Sebanyak 73.7 peratus graduan UPM tahun 2022 telah bekerja dan daripada itu sebanyak 13.7 peratus pula direkodkan menerima gaji premium RM3,000 dan ke atas.

“Pencapaian ini merupakan hasil usaha UPM untuk merealisasikan Pelan Strategik UPM iaitu menambah nilai dan meningkatkan keberkesanan program akademik sepadan dengan keperluan semasa,” katanya.

Tambahnya, pemakluman yang dikeluarkan oleh KPT itu membuktikan semua program pengajian yang ditawarkan oleh UPM masih relevan dan memenuhi kehendak industri.

“Daripada jumlah itu, 10 program pengajian mempunyai status graduan bekerja tertinggi iaitu Bacelor Komunikasi dan Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dari Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Bacelor Perakaunan, Bacelor Ekonomi dan Bacelor Pentadbiran Perniagaan dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Doktor Perubatan Veterinar melalui Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), Bacelor Sains Pembangunan Manusia, Fakulti Ekologi Manusia (FEM), Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian (FP) Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian, Fakulti Sains (FS) dan Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali @ Hamid berkata, pencapaian ini ialah hasil daripada komitmen tinggi dan usaha pelbagai pihak dalam menggerakkan pelbagai program berbentuk peningkatan kerjaya seperti penganjuran Program Karnival Kerjaya & Keusahawanan, Program Intervensi Kebolehpasaran Graduan seperti PENJANA KPT-CAP, KPT-PACE, dan banyak lagi.

“UPM juga menggalakkan pelajar belajar sambil bekerja melalui Pelantar UPM Hire (Program Khidmat Pelajar) yang dibangunkan oleh CEM yang menawarkan perkhidmatan kerja sambilan.

“Ia bukan sahaja bertujuan untuk membantu menambah duit poket pelajar tetapi mendedahkan pelajar kemahiran insaniah seperti keusahawanan bagi memudahkan mereka memburu atau mencipta pekerjaan selepas bergraduat”, katanya.

Jelasnya lagi, sebanyak 4.5 peratus graduan UPM meneruskan kerjaya sebagai usahawan selepas menamatkan pengajian.

Terdahulu, UPM telah menerima Anugerah Majikan Pilihan Graduan (GCA) 2023 dan Universiti Pilihan Majikan dalam sektor universiti awam melalui kaji selidik yang dijalankan oleh agensi Talentbank. – CEM

Tarikh Input: 15/09/2023 | Kemaskini: 22/10/2023 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdNAh~