UPM PERBAIKI KEDUDUKAN, KE- 4 ANUGERAH MAJIKAN PILIHAN GRADUAN (GCA) 2024 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » UPM PERBAIKI KEDUDUKAN, KE- 4 ANUGERAH MAJIKAN PILIHAN GRADUAN (GCA) 2024

UPM PERBAIKI KEDUDUKAN, KE- 4 ANUGERAH MAJIKAN PILIHAN GRADUAN (GCA) 2024

 

SUBANG JAYA: Universiti Putra Malaysia (UPM) memperbaiki kedudukan dengan meraih tempat keempat sebagai majikan pilihan dalam kalangan mahasiswa sempena Anugerah Majikan Pilihan Graduan (GCA) 2024 kategori Universiti Awam.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Arifin Abdu berkata pada tahun lalu, UPM mendapat tempat kelima dalam anugerah yang sama.

“Anugerah ini membuktikan bahawa jenama UPM merupakan salah satu di antara majikan yang menjadi pilihan graduan untuk bekerja”, katanya yang menerima anugerah tersebut di sini.

Sementara itu Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM, Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali @ Hamid berkata UPM menerima trofi GCA bersadur emas 24K dan sijil pencapaian daripada Pengasas Talentbank dan Pengerusi Anugerah Majikan Pilihan Graduan 2023, Ben Ho.

 

Beliau berkata, pilihan graduan ini dibuat melalui kajiselidik yang dijalankan oleh Talentbank dalam kalangan 200,000 pelajar di seluruh Malaysia selama setahun dari 31 Julai 2022 hingga 31 Julai 2023.

Ditubuhkan pada 2010, Talentbank ialah pemboleh ubah dalam ekosistem kebolehkerjaan graduan yang memberi tumpuan kepada melahirkan calon yang bersedia untuk terjun ke pasaran kerja bertaraf dunia.

Pemenang anugerah universiti awam lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Malaysia Sarawak.

Anugerah Pilihan Graduan 2023 yang diadakan di Sunway Hotel Resorts & Spa itu bertujuan meraikan dan mengiktiraf kecemerlangan organisasi yang berusaha merapatkan jurang antara industri dengan akademik dari 46 sektor pekerjaan seperti perkhidmatan perakaunan & profesional, automatif, perbankan, kejuruteraan, pembinaan, hiburan, fesyen, Fintech, kesihatan, petroleum & gas, pembuatan, peruncitan, ICT, penerbangan, konsultasi, kosmetik, insuran, pengurusan fasiliti, telekomunikasi, sosial media, pendidikan dan lain-lain lagi.

(Berita oleh Khairul Anuar Md Noh)

Tarikh Input: 07/12/2023 | Kemaskini: 07/12/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdLAV~