5C : FORMULA KEBOLEHPASARAN GRADUAN MASA KINI KEBERKESANAN KOMUNIKASI | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» ARTIKEL » 5C : FORMULA KEBOLEHPASARAN GRADUAN MASA KINI KEBERKESANAN KOMUNIKASI

5C : FORMULA KEBOLEHPASARAN GRADUAN MASA KINI KEBERKESANAN KOMUNIKASI

Kemahiran komunikasi merupakan asset utama yang dinilai oleh bakal majikan pada hari ini. Graduan yang kurang mahir di dalam bidang ini akan menghadapi masalah untuk memasarkan diri mereka apabila bergraduat nanti. Justeru itu, amatlah penting kepada setiap graduan untuk memantapkan diri mereka dengan kemahiran komunikasi ini agar diri mereka lebih bernilai di pasaran kerjaya apabila tamat pengajian nanti.

Apa aitu Komunikasi

Secara ringkas komunikasi ialah perpindahan maklumat daripada penyampai kepada penerima tanpa berlaku sebarang penambahan dan pengurangan kepada maklumat asal.

Di dalam komunikasi perkara yang perlu diberikan keutamaan ialah mesej atau kandungan maklumat itu. Kaedah penyampaian dalam komunikasi adalah kurang penting. Kaedah penyampaian mungkin berbeza tetapi mesej yang hendak disampaikan perlulah tepat dan sama sepertimana maklumat asalnya.

Jenis Komunikasi

Komunikasi boleh dibahagikan kepada dua jenis:

  • Komunikasi lisan (verbal)
  • Komunikasi bukan lisan (non-verbal)

Komunikasi lisan ialah komunikasi yang menggunakan perkataan ataupun tutur kata dalam penyampaian maklumat. Pada umumnya ucapan lisan akan digunakan dalam komunikasi lisan. Komunikasi bukan lisan atau non-verbal ialah komunikasi yang tidak menggunakan tutur kata atau perkataan semasa menyampaikan maklumat.

Jadual 1: Komunikasi Non-verbal

Secara umumnya, setiap individu menggunakan lebih daripada 95% kaedah komunikasi bukan lisan atau non-verbal dalam komunikasi harian mereka. Oleh yang demikian, setiap individu perlulah peka dan berhati-hati dengan komunikasi bukan lisan kerana ia akan memberikan impak kepada diri kita tanpa disedari.

Mencapai Komunikasi Berkesan

Komunikasi berkesan boleh dicapai dengan jayanya sekiranya elemen-elemen berikut dapat diaplikasikan oleh setiap individu di dalam kehidupan seharian. Di antara elemen tersebut ialah:

  • Kesediaan untuk mendengar
  • Kesedian untuk melihat
  • Kesediaan untuk memberi teguran
  • Kesediaan untuk menerima teguran
  • Kesediaan untuk mendiamkan diri
  • Kesediaan untuk bercampur dengan orang lain
  • Kesediaan untuk merendahkan diri dan tidak sombong

Etika Komunikasi

Untuk mencapai kemahiran komunikasi secara optimum, etika komunikasi perlulah diikuti dengan sebaik mungkin. Antara etika komunikasi yang perlu diberikan perhatian yang serius ialah seperti berikut:

  • Niat yang baik
  • Cakap serupa bikin
  • Mendengar dengan aktif dan teliti
  • Tidak membesarkan perkara yang remeh
  • Berdiam diri jika kurang pasti
  • Menerima kritikan membina
  • Belajar menentang dengan cara baik
  • Berpandangan positif
  • Berunding sebelum bertindak
  • Fikirkan anda adalah mereka.

 Halangan Kepada Komunikasi Berkesan

Terdapat pelbagai halangan kepada komunikasi berkesan. Di antara halangan tersebut ialah seperti berikut:

  • Bahasa yang mempunyai makna yang berbeza di antara satu tempat dengan tempat lain
  • Persepsi pendengar terhadap penyampai dan jenis maklumat yang disampaikan
  • Interpretasi bahasa bukan lisan (non verbal)
  • Kurang pendengaran
  • Suasana dan emosi yang tidak kondusif untuk komunikasi berkesan

Tips Memiliki Kemahiran Komunikasi

Untuk memiliki kemahiran komunikasi, setiap graduan haruslah berusaha secara berterusan. Ini adalah kerana kemahiran komunikasi hanya boleh dimiliki secara Latihan dan amali secara berterusan. Ia berbeza dengan kemahiran yang lain seperti bertukang ataupun membuat kuih yang mampu dimiliki oleh seseorang selepas beberapa kali melakukan ataupun mencubanya.

Semakin kerap seseorang itu melakukan ataupun mengaplikasikan kemahiran komunikasi dalam kehidupan sehariannya, semakin mantaplah kemahiran tersebut di dalam dirinya.

Berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh setiap graduan untuk memiliki kemahiran komunikasi.

  • Sering bertanyakan soalan kepada pensyarah atau guru di dalam kelas
  • Selalu mengadakan perbincangan kumpulan
  • Sering kali menghadirkan diri ke majlis-majlis ilmu seperti forum, diskusi, ceramah dan sebagainya
  • Mengambil bahagian di dalam pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak seperti pertandingan perbahasan, pidato, pantun dan sebagainya
  • Membaca buku-buku motivasi
  • Gemar melihat dan menonton ucapan ataupun pidato yang disampaikan oleh pemidato atau penyampai yang hebat

Gemar memikul tanggungjawab atau tugas yang diberikan

Komunikasi Dalam Bahasa Inggeris

Kepentingan Bahasa Inggeris dalam era globalisasi pada hari ini memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Individu yang mempunyai kemampuan untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris untuk mendapat pekerjaan jika dibandingkan dengan mereka yang tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa tersebut, walaupun mempunyai keputusan akademik yang baik.

Justeru itu, setiap graduan perlulah berusaha untuk mempelajari bahasa tersebut agar mereka mampu untuk berkomunikasi dengan baik apabila mereka bergraduat nanti.

Universiti merupakan tempat terbaik untuk belajar menggunakan Bahasa Inggeris di dalam perbualan seharian kerana komuniti kampus adalah komuniti intelek. Oleh yang demikian, apabila kita menggunakan Bahasa Inggeris, masyarakat sekeliling tidak merasa janggal kerana masyarakat kampus sememangnya tahu kepentingan bahasa tersebut.

Mengapa Bahasa Inggeris Penting

  • Bahasa Inggeris digunakan semasa menghadiri temuduga
  • Bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa
  • Peluang untuk maju ke hadapan dalam kerjaya anda adalah lebih cerah jika anda mampu menguasai Bahasa Inggeris
  • Majoriti daripada majikan memerlukan pekerja yang mampu berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan baik

Konsep dunia tanpa sempadan menuntut setiap individu agar menguasai Bahasa Inggeris dengan baik untuk berjaya dalam hidup

Tips Mempelajari Bahasa Inggeris

Terdapat pelbagai cara untuk berkomunikasi di dalam Bahasa Inggeris. Di antara kaedah yang mudah dan berkesan untuk mempelajari Bahasa Inggeris ialah seperti berikut:

  • Suka mendengar orang bercakap di dalam Bahasa Inggeris
  • Selalu berbual di dalam Bahasa Inggeris
  • Tidak malu berbual dalam Bahasa Inggeris
  • Membaca bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris
  • Mendengar radio dan menonton televisyen dalam Bahasa Inggeris
  • Rajin mencuba tanpa mempedulikan apa yang orang lain katakan

Rumusan

Memiliki kemahiran komunikasi yang berkesan amat penting dan perlu kepada setiap bakal graduan. Elemen komunikasi merupakan elemen yang penting dan diberikan perhatian yang serius oleh setiap bakal majikan. Mereka yang mampu untuk mempamerkan kemahiran komunikasi yang cemerlang mempunyai peluang pekerjaan yang cerah apabila bergraduat nanti.

Tarikh Input: 24/08/2022 | Kemaskini: 24/08/2022 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEZOAd~