7 TIPS CARA BERUNDING GAJI SECARA PROFESIONAL: PANDUAN UNTUK PARA GRADUAN | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» ARTIKEL » 7 TIPS CARA BERUNDING GAJI SECARA PROFESIONAL: PANDUAN UNTUK PARA GRADUAN

7 TIPS CARA BERUNDING GAJI SECARA PROFESIONAL: PANDUAN UNTUK PARA GRADUAN

7 TIPS RUNDINGAN GAJI YANG BIJAK

Rundingan gaji boleh menjadi antara bahagian paling mencabar dalam proses mendapatkan pekerjaan. Namun, dengan persiapan yang betul, anda boleh menghadapi proses ini dengan penuh yakin dan profesional. Berikut merupakan 7 strategi atau panduan yang boleh membantu anda untuk berunding gaji dengan lebih bijak, terutamanya bagi graduan baharu.

  1. Lakukan Kajian Nilai Pasaran

Langkah pertama sebelum menghadiri temuduga ialah melakukan kajian tentang kadar gaji semasa bagi jawatan yang dipohon. Pastikan anda mengetahui purata gaji mengikut industri, lokasi, dan tahap pengalaman yang anda miliki. Maklumat ini bukan sahaja membantu anda membuat permintaan gaji yang realistik, malah menunjukkan bahawa anda bersedia dan profesional.

  1. Tonjolkan Nilai Diri Anda

Semasa sesi temuduga atau rundingan, penting untuk menekankan pencapaian, kemahiran, dan sumbangan yang boleh anda tawarkan kepada syarikat.

Contohnya, anda boleh berkata:

"Di syarikat sebelum ini, saya berjaya mencapai sasaran jualan sebanyak RM1,000,000. Berbekalkan pengalaman Ini membuktikan saya dapat memberi manfaat kepada syarikat anda."

Pernyataan seperti ini membantu menonjolkan nilai anda sebagai calon yang bernilai tinggi.

  1. Elakkan Membincangkan Gaji Terlalu Awal

Walaupun isu gaji penting, elakkan daripada membincangkannya pada peringkat awal proses temuduga. Fokuskan dahulu kepada menunjukkan kesesuaian anda untuk jawatan tersebut. Setelah syarikat menunjukkan minat terhadap anda, barulah lebih sesuai untuk memulakan perbincangan mengenai gaji.

  1. Pertimbangkan Keseluruhan Pakej, Bukan Gaji Sahaja

Gaji asas bukan satu-satunya faktor yang perlu dipertimbangkan. Anda juga perlu menilai manfaat lain seperti bonus tahunan, cuti tambahan, kebolehan untuk bekerja dari rumah, insurans kesihatan, serta peluang pembangunan kerjaya. Pakej menyeluruh yang baik boleh memberi nilai jangka panjang yang lebih tinggi.

  1. Tekankan Kemahiran Anda

Sekalipun anda kurang pengalaman kerja tetap, kemahiran seperti penyelesaian masalah, kemahiran komunikasi, dan penguasaan teknologi adalah aset penting. Tumpukan kepada bagaimana kemahiran ini boleh memberi kesan positif kepada organisasi.

  1. Gunakan Pengalaman Latihan Industri dan Projek Akademik

Jangan pandang rendah terhadap pengalaman semasa latihan industri, projek universiti, atau kerja sukarela. Pengalaman ini tetap relevan dan boleh menunjukkan keupayaan anda bekerja dalam situasi sebenar.

  1. Latih Cara Penyampaian Anda

Bercakap tentang soal gaji boleh menjadi sesuatu yang janggal, terutamanya bagi graduan baharu. Oleh itu, latih diri anda dengan ayat-ayat yang sesuai dan nada yang sopan tetapi tegas.

Antara contoh ayat yang boleh digunakan ialah:

"Saya telah meneliti tawaran ini dan berdasarkan kemahiran serta nilai gaji di pasaran, saya berasa yakin untuk memohon semakan gaji kepada RMXXXXX."

Dengan mengaplikasikan strategi-strategi ini, anda bukan sahaja akan kelihatan lebih yakin, malah dapat memaksimumkan nilai yang anda tawarkan kepada majikan. Rundingan gaji bukan sekadar soal wang, tetapi juga tentang bagaimana anda menghargai diri anda sebagai seorang profesional.

Disediakan oleh: Mior Adha Najmi bin Mior Akram

Tarikh Input: 11/08/2025 | Kemaskini: 11/08/2025 | hidayahyahya

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
X, (06:57:20pm-07:02:20pm, 15 Jul 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]