Faktor-faktor Pemilihan Kerjaya Bagi Seseorang Remaja | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» ARTIKEL » Faktor-faktor Pemilihan Kerjaya Bagi Seseorang Remaja

Faktor-faktor Pemilihan Kerjaya Bagi Seseorang Remaja

Pada zaman pascakemerdekaan ini, Malaysia telah berkembang menjadi pemacu ekonomi terutamanya dalam rantau Asia Tenggara. Dasar keterbukaan kerajaan kepada pelabur asing telah membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dalam negara sekaligus membuka peluang-peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, kerjaya merujuk kepada profesion atau pekerjaan yang dipilih sebagai cara mencari nafkah hidup. Jika ditelusuri realiti masa kini, manusia boleh memilih kerjaya pilihan mereka atau mencipta sendiri kerjaya mereka. Kelahiran ciptaan teknologi dan kemampuan sains hari ini telah mendorong manusia untuk berubah dan mengadaptasi corak kehidupan baru yang bergantung kepada sains dan teknologi yang membawa kemajuan kepada tamadun manusia. Kesannya, terdapat kerjaya yang kekal relevan seperti bidang perubatan dan pendidikan. Tetapi terdapat bidang yang perlu diadaptasi dengan perkembangan teknologi hari ini seperti bidang komunikasi dan pembuatan yang lebih cenderung ke arah bebas tenaga manusia. Justeru, golongan remaja hari ini perlu mengetahui apakah faktor-faktor pemilihan kerjaya yang baik dan menjamin masa hadapan yang cerah untuk diri mereka.

Faktor utama yang mempengaruhi pemilihan kerjaya dalam kalangan remaja adalah berdasarkan minat dan cita-cita. Sebagai manusia, kita dilahirkan dengan fitrah untuk meminati sesuatu dan membenci perkara yang kita tidak inginkan. Faktor minat menjadi pendorong utama dalam pemilihan kerjaya adalah kerana induvidu tersebut mempunyai semangat dan keterujaan untuk melaksanakan tugas yang memberikan kebahagiaan kepada diri mereka. Sebagai contoh, Allahyarham Sudirman Bin Haji Arshad yang merupakan penyanyi terkenal dan penghibur tersohor negara pada suatu ketika dahulu. Beliau merupakan graduan undang-undang tetapi meninggalkan bidang guaman untuk memilih bidang seni sebagai kerjaya pilihannya. Ternyata disebabkan minat dan cita-citanya yang kuat, beliau berjaya menambat hati hampir seluruh rakyat Malaysia pada ketika itu dengan lagu-lagu ciptaan beliau sehingga digelar “Penghibur Nombor 1 Di Asia”. Senario itu menunjukkan bahawa sekiranya anda mempunyai minat dan cita-cita yang tinggi dan mendalam, ia mampu menghasilkan kerjaya yang cemerlang dan memberikan kepuasan kepada diri sendiri.

Faktor lain yang mendorong para remaja dalam memilih kerjaya mereka adalah faktor latar belakang akademik. Sebagai warganegara Malaysia, kita diwajibkan untuk bersekolah di peringkat rendah selama enam tahun dan peringkat menengah selama lima tahun. Kemampuan akademik selama sebelas tahun ini mempengaruhi sebilangan besar para remaja dalam membuat pilihan kerjaya mereka. Ada di antara mereka yang gemar dengan mata pelajaran matematik akan memilih bidang kejuruteraan dan yang gemar akan mata pelajaran biologi memilih bidang perubatan. Dalam erti kata lain, pemilihan mata pelajaran para pelajar di sekolah menjadi pendorong kepada pemilihan kerjaya mereka di masa hadapan. Pembelajaran teori di peringkat umum akan mempengaruhi pelajar untuk belajar dengan lebih mendalam dan fokus kepada bidang-bidang tertentu. Tambahan pula, majikan atau syarikat akan menapis calon-calon pekerja berdasarkan kelayakan akademik pelajar kerana hanya jauhari sahaja yang mengenali manikam. Jikalau pelajar berjaya menguasai mata pelajaran berkenaan sudah pasti mereka ada kelebihan untuk menggapai kerjaya yang diidam-idamkan. Intihannya, latar belakang akademik merupakan faktor yang penting untuk menentukan kejayaan pelajar merealisasikan kerjaya yang mereka minati.

Pada waktu yang sama, golongan remaja perlu melihat dan mengkaji faktor prospek kerjaya yang akan dipilih. Faktor ini penting bagi menjamin kelansungan hidup setiap individu kerana kerjaya yang baik memberikan gaji yang lumayan. Misalnya, bidang perubatan dan perbankan menjadi pilihan ramai remaja kerana ia memberikan kestabilan kerja, gaji yang berpatutan dan prospek kerjaya yang meyakinkan. Namun prospek tersebut adalah bergantung kepada kelayakan dan kemampuan individu tersebut untuk mengembangkan kemahiran mereka sehingga berjaya ditawarkan pangkat ke jawatan yang lebih tinggi. Kenaikan taraf kehidupan dan kos sara hidup menjadi titik tolak kepada remaja dalam memilih kerjaya yang memberikan upah atau gaji yang berpatutan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup. Keadaan ekonomi dunia amnya dan negara khususnya yang tidak menentu ketika ini menambah lagi idea di mana kerjaya yang dipilih seharusnya mampu menampung diri dan rancangan masa hadapan individu untuk berkeluarga serta memiliki aset-aset seperti rumah dan kereta. Jelaslah bahawa faktor prospek kerjaya mempengaruhi remaja dalam memilih kerjaya pilihan mereka.

Selain daripada itu, pengaruh dan sokongan daripada ibu, bapa dan ahli keluarga juga menjadi faktor dalam pemilihan kerjaya remaja. Ironinya, keredaan ibu dan bapa adalah penentu kehidupan setiap individu kerana dengan halangan atau dorongan akan memberikan impak kepada keputusan yang diambil oleh mereka. Pada pandangan saya, ibu dan bapa seharusnya memberikan sokongan terhadap minat anak-anak mereka kerana jika kita memaksa mereka melakukan kerja yang tidak diminati, pasti mereka akan mudah kecundang dan gagal dalam kerjaya tersebut. Sebaliknya ibu dan bapa boleh membantu anak-anak mencapai cita-cita mereka dengan memberikan kata-kata semangat atau menghantar mereka ke kelas yang berkaitan dengan minat mereka. Misalnya, atlet berbasikal negara, Azizulhasni Awang tidak akan berjaya menjadi atlet yang bertanding di peringkat dunia sekiranya ayah beliau tidak menghadiahkan sebuah basikal sebagai ganjaran kecemerlangan beliau di sekolah. Bermula daripada dorongan itu, beliau meneruskan cita-cita dalam menjadi atlet berbasikal negara dan berjaya merangkul pingat emas di kejohanan peringkat dunia. Siapa sangka, anak kelahiran Dungun, Terengganu bersaiz fizikal yang kecil berbanding atlet di Eropah dan Amerika mampu bersaing dan menjadi juara dunia dalam acara yang dikuasainya. Natijahnya, sokongan ibu dan bapa adalah faktor yang mustahak dalam pemilihan kerjaya para remaja.

Tuntasnya, pelbagai faktor yang telah dikupas menjadi pemangkin kepada pemilihan kerjaya dalam golongan remaja hari ini. Ia merupakan suatu perkara yang tidak boleh dipandang enteng kerana tanpa kerjaya yang baik, kehidupan seseorang boleh musnah dan memundurkan masyarakat, bangsa dan negara. Setiap pihak yang berkaitan terutamanya ahli keluarga seharusnya memberikan bimbingan dan panduan yang tepat agar remaja hari ini membuat pilihan yang baik. Sokongan dalam bentuk fizikal, mental dan kerohanian wajar diberikan kerana para remaja hari ini perlu bersaing dan membentuk diri mereka dengan kemahiran dan kelayakan yang tinggi bagi merebut peluang kerjaya yang semakin terhad. Semoga generasi muda hari ini tabah dan dikurniakan kebijaksanaan dalam mencipta peluang kerjaya serta mengembangkan kerjaya mereka agar kemajuan negara diteruskan dengan jayanya. Peribahasa melayu berkata di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Kata mutiara ini sesuai untuk dijadikan sebagai pedoman para remaja dalam menempuh dugaan dan cabaran sebelum berjaya mencapai cita-cita dan kerjaya impian mereka.

 

Sumber:  https://www.ipendidikan.my/faktor-pemilihan-kerjaya-seorang-remaja.html

Tarikh Input: 26/01/2023 | Kemaskini: 26/01/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXETKAy~