Kelebihan Keusahawanan Kepada Pelajar | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» ARTIKEL » Kelebihan Keusahawanan Kepada Pelajar

Kelebihan Keusahawanan Kepada Pelajar

 

Pada masa kini, bidang keusahawanan bukanlah satu pilihan yang asing lagi dalam kalangan pelajar. Mereka memilih untuk menjadi usahawan sebagai langkah proaktif dalam menjana pendapatan sambil konsisten menuntut ilmu. Siswa juga mula sedar akan kepentingan menyertai bidang keusahawanan semasa berada di universiti. Antara kelebihannya kepada siswa adalah:

  1. Kebolehan bekerja sendiri

Siswa yang memilih untuk melibatkan diri dalam sektor keusahawanan mampu untuk bekerja sendiri mengikut kemampuan dan minat masing-masing. Jika selepas menamatkan pengajian mereka tidak berpeluang untuk menyertai bidang pekerjaan dari sektor tertentu mereka masih mempunyai rancangan alternatif untuk menjadikan ia sebagai kerjaya tetap atau hanya untuk sementara. Mereka boleh bekerja sendiri seperti mengusahakan perniagaan kecil-kecilan dengan lebih yakin kerana mereka mempunyai pengalaman semasa belajar. Ini menjadi faktor penyumbang kepada janaan pendapatan siswa sambil menunggu panggilan kerja atau sebaliknya.

  1. Mengasah kemahiran insaniah

Melalui penyertaan dalam bidang keusahawanan pelajar akan mendapat manfaat untuk mengasah kemahiran insaniah dari segi komunikasi yang berkesan, kepimpinan, kerja berpasukan dan kemampuan menyelesaikan masalah atau konflik. Secara tidak langsung keadaan ini akan membantu mereka menyesuaikan diri dalam kelompok sosial pada masa kini. Mereka akan lebih bijak untuk bertahan hidup dan juga berani untuk mengambil peluang menjadi pemimpin kerana mereka telah mempunyai pengalaman dan mengetahui perkara yang sepatutnya dan tidak sepatutnya dilakukan pada masa hadapan. Ini juga menjadi skor tambahan untuk menjadi insan yang lebih berkualiti.

  1. Keupayaan merebut peluang pekerjaan

Siswa yang pernah melibatkan diri dalam bidang keusahawanan memiliki kemahiran yang akan menjadi satu kelebihan untuk menceburi sektor pekerjaan. Pada masa kini, majikan bukan hanya mencari seorang pekerja yang mempunyai pengetahuan semata-mata tetapi juga mencari pekerja yang mempunyai kemahiran dan pengalaman. Jika mereka melibatkan diri dalam sektor pekerjaan berkaitan dengan keusahawanan, ini adalah satu peluang keemasan kerana mereka telah mempunyai pengalaman yang bernilai untuk diadaptasikan dalam sektor pekerjaan. Jika bukan berkaitan dengan bidang keusahawanan sekalipun, mereka juga mempunyai kemahiran insaniah seperti berupaya menjadi pemimpin, menyelesaikan konflik, bijak dalam berkomunikasi yang akan membantu mereka untuk merebut peluang pekerjaan.

  1. Menjana pendapatan sampingan

Isu masalah kewangan bukanlah satu isu yang asing lagi dalam kalangan pelajar di institusi pengajian tinggi. Pilihan untuk menceburi bidang keusahawanan adalah satu langkah bijak yang boleh diambil oleh siswa untuk menjana pendapatan dan tetap fokus dalam menuntut ilmu. Mereka boleh mengurangkan beban kewangan keluarga mereka atau mengumpul hasil dapatan untuk kegunaan sendiri. Oleh itu, mereka akan menjadi lebih berdikari dan sentiasa berusaha untuk mendapatkan perkara yang diingini.

  1. Mewujudkan pemikiran yang kreatif dan inovatif

Seseorang siswa yang terlibat dengan bidang keusahawanan akan mempunyai pemikiran yang kreatif dan inovatif. Hal ini demikian kerana sebagai usahawan mereka akan sentiasa memikirkan rancangan dan pembaharuan yang kreatif dan inovatif untuk memastikan produk yang dipasarkan mendapat tumpuan dari kumpulan sasaran. Mereka juga akan mempelbagaikan usaha dan kreativiti masing-masing untuk menyelesaikan masalah atau konflik yang dihadapi. Ini akan menyumbang kepada keberkesanan suatu program, aktviti atau perniagaan yang ingin dijalankan.

Rumusannya, bidang keusahawanan semakin menjadi tumpuan dalam kalangan pelajar kerana ia telah pun membuka minda mereka bahawa bidang perniagaan memberi banyak kelebihan untuk masa panjang.

Ditulis oleh: Noratirah binti Rahim

Tarikh Input: 20/04/2026 | Kemaskini: 20/04/2026 | sarahshammaddin

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
X, (10:23:04am-10:28:04am, 30 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]