
Pengurusan masa yang bijak adalah sangat penting bagi seseorang pelajar sekaligus merangkap usahawan. Anda memerlukan disiplin yang amat tinggi dalam menguruskan masa antara belajar dan bisnes. Ini adalah bertujuan untuk mengelakkan anda mengabaikan tanggungjawab utama anda sebagai seorang pelajar. Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil untuk memastikan pengurusan masa adalah strategik dan berkesan.
Yang pertama, pelajar perlulah menetapkan akademik sebagai keutamaan. Manakala letakkan bisnes sebagai tujuan untuk mencari pengalaman dan kewangan tambahan sahaja. Dengan pemikiran seperti ini anda akan lebih mengutamakan pelajaran berbanding bisnes. Ini bukan bermaksud bisnes tidak penting tetapi pelajaran adalah lebih utama kerana itulah tujuan utama pelajar memasuki universiti.
Dari ini pelajar akan lebih bijak untuk menguruskan masa dengan mengutamakan kepentingan terlebih dahulu dan tidak mencampur adukkan dengan bisnes. Sebagai contohnya, tentukan waktu tertentu untuk fokus belajar iaitu dari 8 pagi hingga 5 petang dan waktu khusus untuk bisnes adalah 8 malam hingga 11 malam sahaja. Pengasingan waktu ini dapat mengelakkan pelajar mengalami isu ponteng kelas, tidak fokus, tidak bersemangat dan isu-isu lain.
Selain itu, gunakan masa secara efektif. Sebagai seorang pelajar yang bergelar usahawan hargai setiap minit dan penuhi masa dengan perkara yang berfaedah. Sebagai contohnya, pada waktu yang terluang, ulang kaji pelajaran atau lakarkan idea dan strategi yang boleh diguna pakai dalam bisnes. Hadkan penggunaan telefon bagi meningkatkan produktiviti harian dan jangan tangguhkan segala urusan atau tugasan yang boleh dilakukan sejak dari awal. Dengan ini, anda akan lebih menjimatkan masa dan tidak mempunyai tugasan yang tertangguh serta dapat menggunakan masa secara maksimum.
Kunci kepada pengurusan masa yang berjaya ialah konsistensi. Anda perlulah mengikut segala jadual yang telah ditetapkan untuk membentuk rutin yang stabil dan selesa. Dengan rutin yang konsisten, anda akan lebih mudah untuk menguruskan masa dan jadual harian anda juga akan lebih teratur. Misalnya, anda perlulah konsisten mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pembahagian waktu pembelajaran dan bisnes untuk memastikan aktviti harian anda adalah produktif dan tidak terbuang dengan perkra yang sia-sia.
Kesimpulannya, pengurusan masa merupakan aspek paling penting bagi pelajar universiti yang menjalan perniagaan. Dengan pembahagiaan dan pengurusan masa yang jelas dan disiplin diri yang tinggi, pelajar mampu menjadi usahawan yang berjaya tanpa mengabaikan tanggungjawab utama sebagai seorang pelajar iaitu menuntut ilmu.
Ditulis oleh: Noratirah binti Rahim
Tarikh Input: 24/04/2026 | Kemaskini: 05/05/2026 | sarahshammaddin

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <