100 KG HASIL TUAIAN PERTAMA CILI KULAI CEM | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » 100 KG HASIL TUAIAN PERTAMA CILI KULAI CEM

100 KG HASIL TUAIAN PERTAMA CILI KULAI CEM

Teks oleh : Ludinata bin Misnun

 

SERDANG, 29 Julai – Program Structured Entrepreneurship Incubator Programme (SEIP) melalui projek penanaman cili kulai secara fertigasi telah berjaya menuai hasil pertama sebanyak 100 kilogram di sini hari ini.

Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM berkata, projek inkubator ini diketuai oleh Mohammad Arif Ramly. Seramai 6 peserta terlibat dalam menjayakan program ini untuk membentuk pelajar yang mampu berdaya saing dalam perniagaan berasaskan pertanian.


“Pihak Kementerian Pengajian Tinggi telah menyalurkan dana sebanyak RM10,000.00 untuk keperluan program ini. Manakala, Institut Biosains (IBS) UPM pula telah bermurah hati menjadi rakan kerjasama dengan membenarkan guna tanah milik mereka sebagai tapak penanaman. Peserta bukan sahaja didedahkan dengan ilmu keusahawanan malah mereka juga akan mendaftarkan syarikat perniagaan sendiri dan akhirnya menjadi usahawan dengan menjual hasil pertanian”, katanya lagi.


Mohammad Arif Ramly pula berkata, di dalam program ini beliau telah diberi kepercayaan oleh pihak CEM untuk menjadi ketua projek bersama 5 ahli kumpulan yang dianggotai oleh Nurazeyana Md Othman, Chrissha Webster, Muhammad Amir Hakimi Adnan, Mior Muhammad Tahfiz Abdul Raof dan Thiery Maldini Maidin. Mereka telah berjaya menyemai sebanyak 1,000 anak pokok cili dari benih Sakata 461 atau nama komersilnya cili Kulai di Plot Penyelidikan Konservatori, Institut Biosains (IBS) UPM. Beliau yang juga merupakan pelajar Bacelor Sains Pertanian telah mengaplikasikan semua ilmu yang diperolehi semasa di dalam pengajian untuk projek cili ini.


”Projek penanaman cili secara fertigasi itu telah dimulakan pada bulan April 2021. Pemilihan cili sebagai komoditi projek adalah sesuai dengan pasaran semasa yakni hanya 30% pengeluaran cili dalam negara dapat menampung keperluan semasa. Cili jenis Sakata 461 ini menjadi pilihan kerana ia mempunyai permintaan yang tinggi dan sedikit rintang terhadap penyakit dan serangan serangga. Oleh itu, kita mensasarkan  pengeluaran sebanyak 1,000 kilogram sehingga akhir Ogos 2021”, katanya lagi.

Manakala itu, Prof. Dr. Arifin Abdu, Timbalan Naib Canselor (HEPA) UPM berkata, cadangan menggunakan sistem fertigasi untuk projek ini adalah sangat bertepatan kerana UPM menggalakkan para pelajar menggunakan teknologi pertanian untuk projek-projek pertanian seiring dengan aliran semasa. Sistem fertigasi dapat memudahkan operasi ladang dari segi pembajaan dan siraman. Oleh kerana sistem fertigasi ini dikawal secara automatik, maka peserta dapat juga menumpukan perhatian kepada pelajaran tanpa mengabaikan komitmen 100% terhadap projek ini.


Program Structured Entrepreneurship Incubator Programme (SEIP) dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan Institut Biosains (IBS).

Tarikh Input: 02/08/2021 | Kemaskini: 15/09/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEUCA4~