
CAREER & FUTUREPRENEUR FESTIVAL (CFF) UPM 2026
SERDANG, 20 Mei – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) menganjurkan UPM Career & Futurepreneur Festival (CFF) 2026 selama dua hari bermula 20 hingga 21 Mei 2026 di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM, sebagai platform memperkukuh agenda kebolehpasaran graduan, pembangunan bakat dan keusahawanan mahasiswa.
Festival berskala besar itu menghimpunkan pelbagai pengisian melibatkan pameran kerjaya, forum industri, pembangunan resume berasaskan kecerdasan buatan (AI), keusahawanan pelajar, pertandingan e-sukan, sesi kepimpinan belia dan pelbagai program pembangunan profesional bersama industri.
Majlis perasmian CFF 2026 telah disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah di Anjung Ilmu, Blok B, PSAS UPM.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa universiti hari ini perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah mampu menjadi pencipta pekerjaan dan pemimpin masa hadapan.
Menurut beliau, “Dunia pekerjaan kini sedang berubah dengan pantas. Revolusi digital, kecerdasan buatan (AI), automasi serta ekonomi gig telah mengubah landskap pekerjaan global.
“Justeru, graduan masa kini perlu memiliki kombinasi ilmu akademik, kemahiran insaniah, keupayaan digital, pemikiran kritikal serta daya keusahawanan yang tinggi.”
Beliau turut berkongsi pencapaian terkini Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) 2025 UPM yang menunjukkan peningkatan ketara dalam aspek kualiti pekerjaan graduan, termasuk graduan bekerja dalam bidang pengajian, tenaga mahir serta pencapaian gaji premium.
“Fokus utama universiti hari ini bukan semata-mata untuk meningkatkan angka pekerjaan, tetapi memastikan graduan memperoleh pekerjaan berkualiti, berpendapatan baik, setara kelayakan dan relevan dengan keperluan industri masa hadapan,” katanya lagi.
Sementara itu, Pengarah CEM UPM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin berkata penganjuran CFF 2026 merupakan antara usaha berterusan universiti dalam memperkukuh jaringan strategik antara mahasiswa dan industri.
“CFF 2026 bukan sekadar festival kerjaya, tetapi platform pembangunan ekosistem bakat mahasiswa secara holistik.
“Melalui kerjasama erat bersama industri, mahasiswa dapat memahami kehendak sebenar pasaran kerja, membina keyakinan diri serta meneroka potensi sebagai usahawan masa hadapan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa CFF 2026 dimulakan lebih awal menerusi siri pra-program secara dalam talian yang mendapat sambutan memberangsangkan daripada mahasiswa UPM dan institusi luar.
Antara pra-program yang dianjurkan ialah Design Your Future Today: Right Career, Right You, Reality Check: From Campus Stress to Career Pressure, LinkedIn Unlocked: Build Your Digital Presence, CV Mastery Session with Flipbizz, Adapt to Thrive: Embracing Diversity, Change & the Future serta forum Kerjaya Diplomat: Impian & Cabaran.
Secara keseluruhan, siri pra-program CFF 2026 berjaya menarik penyertaan lebih 5,000 peserta melibatkan mahasiswa pelbagai fakulti dan institusi.
Pengarah CFF 2026 merangkap Pengerusi Koperasi Keusahawanan Siswa UPM Berhad (KOSISWA), Muhammad Nik Baihaqi Taiki pula menyifatkan festival itu sebagai platform mahasiswa meneroka potensi diri di luar bilik kuliah.
“Mahasiswa hari ini perlu berani mencuba, membina jaringan dan menguasai kemahiran masa hadapan. Melalui CFF 2026, kami mahu mahasiswa melihat kerjaya dan keusahawanan sebagai ruang untuk mencipta impak, bukan sekadar mencari pekerjaan,” ujarnya.
Sepanjang dua hari festival berlangsung, pelbagai program utama diadakan termasuk Futurepreneur Market & Expo, Breaking Into the Industry, Hack Resume Anda: Transformasi Resume dengan AI, Career to Campus: Are You Ready?, Grooming for Success serta The Multi-Hyphenate Career: Mastering Entrepreneurship, Tech and Leadership.
Majlis turut menyaksikan penyampaian 11 Anugerah Kebolehpasaran Graduan UPM 2025 kepada fakulti-fakulti yang mencatat pencapaian cemerlang berdasarkan Kajian Pengesanan Graduan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2025.
CFF 2026 dianjurkan dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Infak (WAZAN), Majlis Perwakilan Mahasiswa UPM, Koperasi Keusahawanan Siswa UPM Berhad (KOSISWA) dan rakan strategik industri termasuk Flipbizz – CEM.
Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan
Universiti Putra Malaysia
20 Mei 2026
Tarikh Input: 20/05/2026 | Kemaskini: 20/05/2026 | hendrik

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <