
BANGI, 26 Julai 2026 – Pelajar tahun ketiga Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Muhammad Nik Baihaqi Taiki, telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daya Usaha Inovasi Putra sempena Majlis Anugerah Naib Canselor (ANC) Universiti Putra Malaysia 2026 yang berlangsung di Hotel Tenera, Bangi, Selangor, hari ini.
Nik Baihaqi yang juga merupakan Timbalan Pengerusi KOSISWA UPM Berhad serta warga Kolej Pendeta Za'ba menerima pengiktirafan tersebut atas kecemerlangan beliau dalam menerajui pelbagai program, projek dan inisiatif berimpak tinggi yang berteraskan kreativiti, inovasi dan penyelesaian baharu, sekali gus memberi manfaat kepada komuniti kampus, masyarakat, industri dan negara.
Anugerah Daya Usaha Inovasi Putra diberikan kepada pelajar UPM yang menunjukkan pencapaian cemerlang melalui penghasilan idea dan inovasi yang mampu menyelesaikan masalah secara praktikal, di samping meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Pengiktirafan ini turut mengiktiraf keupayaan penerima mengaplikasikan ilmu, membina jaringan strategik serta memimpin perubahan melalui inovasi dan keusahawanan.
Dalam ucapan penerimaannya, Nik Baihaqi melahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas pengiktirafan yang diterima serta menegaskan bahawa kejayaan tersebut bukanlah hasil usaha seorang diri, sebaliknya lahir daripada sokongan dan bimbingan ramai pihak.
"Tiada kejayaan yang dibina sendirian. Di sebalik setiap pencapaian, ada insan yang membimbing, menegur, mempercayai dan mendoakan kita."

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada mentor beliau, Encik Ludinata Misnun, atas bimbingan, kepercayaan dan peluang yang diberikan sepanjang membangunkan potensi dirinya sebagai mahasiswa, usahawan dan pemimpin muda.
Penghargaan turut dizahirkan kepada seluruh warga Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM UPM), khususnya Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, Ts. Dr. Rosalam Che Me, Puan Nur Suhaila Juharei dan Encik Muhamad Zubair Muhamad Nazeri, yang banyak membentuk perjalanan keusahawanan beliau.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada rakan industri, iaitu Tuan Sabrie Salleh dan Encik Hafidz Shahril, atas pendedahan serta inspirasi yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam bidang inovasi dan keusahawanan.
Nik Baihaqi turut menghargai sokongan daripada FSKTM UPM, termasuk Dekan FSKTM, Dato' Prof. Dr. Shamala K Subramaniam, Prof. Madya Dr. Puteri Suhaiza Sulaiman, Prof. Madya Dr. Lily Nurliyana Abdullah serta seluruh tenaga akademik yang telah membimbing beliau sepanjang bergelar mahasiswa.
Beliau turut mengiktiraf peranan Prof. Dr. Mohamad Aris Mohd Moklas, Pengetua Kolej Pendeta Za'ba, Prof. Madya Dr. Mohd. Mursyid, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, serta Encik Abdullah Arshad, Pejabat TNC HEPA yang sentiasa memberikan kepercayaan dan peluang untuk beliau mengembangkan potensi diri.
Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada Ahli Lembaga KOSISWA UPM Berhad, rakan-rakan GENERASI Parlimen Belia Malaysia, GENERASI Sarawak, GENERASI Cabang UPM, Majlis Perwakilan Pelajar, Majlis Perwakilan Kolej, para kolaborator serta rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa menjadi sumber inspirasi sepanjang perjalanan beliau.
Menurut Nik Baihaqi, kejayaan sebenar bukanlah diukur melalui anugerah yang diterima, tetapi sejauh mana seseorang mampu membawa manfaat kepada orang lain.
"Hari ini mungkin nama saya yang disebut, tetapi hakikatnya saya berdiri di atas doa, pengorbanan, bimbingan dan kepercayaan begitu ramai insan."
Beliau turut menegaskan bahawa pengalaman dalam bidang inovasi dan keusahawanan telah mengubah kehidupan beliau dan menjadi tanggungjawabnya untuk membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda.
"Jika perniagaan dan inovasi mampu mengubah hidup saya, maka kejayaan ini tidak seharusnya berhenti pada diri saya. Menjadi tanggungjawab saya untuk membuka jalan, mencipta peluang dan membantu mengubah kehidupan orang lain."
CEM Bangga Melahirkan Mahasiswa Berimpak Tinggi

Sementara itu, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM UPM), Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian Nik Baihaqi yang merupakan antara mentee keusahawanan CEM UPM.
Beliau berkata, kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan pembangunan bakat yang dilaksanakan oleh CEM dalam membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik, malah memiliki atribut keusahawanan, kepimpinan, inovasi dan kebolehpasaran yang tinggi.
"Nik Baihaqi merupakan antara mentee keusahawanan yang menunjukkan perkembangan amat membanggakan. Di CEM, kami bukan sekadar memberi latihan keusahawanan, malah menyediakan coaching dan bimbingan secara berterusan bagi membentuk daya usaha, pemikiran inovatif serta ciri-ciri kepimpinan yang diperlukan oleh industri masa kini."

Beliau menambah bahawa CEM sentiasa komited memperkasakan mahasiswa melalui ekosistem keusahawanan yang menyeluruh agar mereka mampu menjadi graduan masa hadapan yang bersedia menghadapi cabaran industri, berupaya mencipta peluang pekerjaan serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
"Kejayaan Nik Baihaqi membuktikan bahawa apabila bakat mahasiswa dipupuk dengan bimbingan yang betul, mereka mampu muncul sebagai pencetus inovasi dan agen perubahan. Inilah aspirasi CEM UPM dalam melahirkan graduan yang bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi juga mampu mencipta pekerjaan dan memberi impak kepada masyarakat."
Kejayaan Nik Baihaqi dilihat sebagai satu lagi bukti komitmen UPM dalam melahirkan graduan holistik yang memiliki keseimbangan antara kecemerlangan akademik, kepimpinan, inovasi dan keusahawanan selaras dengan aspirasi universiti untuk membangunkan modal insan berimpak tinggi bagi memenuhi keperluan negara dan industri masa hadapan.
Tarikh Input: 28/07/2026 | Kemaskini: 28/07/2026 | sarahshammaddin

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <