300 Akademia Dan Industri Hadiri Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) 2023 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » 300 akademia dan industri hadiri Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) 2023

300 akademia dan industri hadiri Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) 2023

 

KUALA LUMPUR 1 November - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menganjurkan Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) 2023 yang disertai lebih 300 orang jemputan di ibu negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyempurnakan majlis perasmian PPKG 2023 serta menyampaikan ucaptamanya di hadapan para ahli akademia IPT; pemain industri; kementerian dan agensi berkaitan; serta para wakil mahasiswa.

Persidangan yang dijayakan bersama rakan strategik iaitu Talent Corporation Malaysia (TalentCorp); Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC); Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO); dan LinkedIn Malaysia itu bertujuan untuk mengenal pasti dan berbincang berkaitan potensi pasaran kerja graduan di masa hadapan.

PPKG 2023 turut menjadi platform dalam memformulasikan intervensi terbaik bagi KPT meningkatkan kebolehpasaran graduan, serta menentukan penyelesaian terbaik bagi isu-isu berkaitan ketidaksepadanan pekerjaan dengan kemahiran, gaji permulaan, nilai tambah dan pelbagai lagi.

Malah, penganjuran PPKG 2023 ini selaras dengan satu daripada inisiatif di bawah Strategi Dua: Peluasan Kerjaya Pelajar di dalam Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021 – 2025 yang menjadi panduan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam menjayakan agenda kebolehpasaran graduan masing-masing.

Tokoh-tokoh besar yang menyampaikan buah fikiran pada kali ini ialah Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Datuk Mohamad Idham Nawawi, Datuk Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor, Datuk Dr. Mohd Gazali Abas, Dato’ Mohd Izani Ghani, Prof. Dato’ Ts. Dr. Shahrin Sahib @Sahibudin, Dr. Murali Raman, dan ramai lagi.

Pada majlis yang sama, YB Menteri turut menyaksikan upacara Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KPT bersama SIRIM Berhad; dan Chartered Institute of Logistics & Transport Malaysia (CILTM); serta melancarkan Portal GEM@KPT – CEM UPM.

Tarikh Input: 25/01/2024 | Kemaskini: 25/01/2024 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdNAK~