
Serdang, 22 Ogos - Kumpulan Koir GEMERSIK gabungan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), dan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), kembali menguasai persada Koir Semarak Merdeka UPM 2024 dengan memenangi Naib Johan, Pertandingan Koir sempena Program Semarak Merdeka UPM 2024 yang diadakan pada 20-22 Ogos 2024 di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pada tahun ini, Gemersik mempertaruhkan lagu ‘Gemuruh’ ciptaan dan nyanyian oleh Faizal Tahir. Manakala, susunan dan gubahan semula muzik oleh Nurul Fazlina Ariff Abdullah dan Shazwan R. Arzami yang juga merupakan guru vokal Gemersik sejak 4 tahun yang lalu.
Pasukan Gemersik telah membawa pulang piala dan hadiah wang tunai bernilai RM 700.00.
Noridah Mohd Top, yang merupakan Ketua Kumpulan Gemersik berkata, mereka tidak menyangka latihan intensif selama 7 hari sahaja, membawa kejayaan kepada Gemersik pada hari ini.
"Latihan intensif ini memerlukan setiap ahli kumpulan untuk bergabung dalam harmoni dengan empat variasi suara: soprano, alto, tenor dan bass.
“Walaupun sukar, kami berani mencuba teknik ini kerana ia merupakan kelebihan kami berbanding pesaing lain”, Katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah CEM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin berkata, usaha setiap ahli koir dari FPSK dan CEM untuk mengamalkan apa yang mereka belajar telah menunjukkan kejayaan pemupukan budaya kerjasama berpasukan dalam kalangan staf UPM.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengurusan FPSK kerana memberi sokongan padu untuk bekerjasama dengan kami di CEM.
“Saya percaya sokongan kuat pengurusan FPSK dan CEM menjadikan staf lebih bersemangat untuk memberikan persembahan yang terbaik pada hari ini.”, Ulasnya lagi.
Program Semarak Merdeka UPM 2024 dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, bertujuan untuk memupuk semangat patriotik dalam kalangan warga kampus dan masyarakat sekitar UPM.
Majlis perasmian penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM. - CEM
++++
Untuk Rekod, kedudukan Gemersik (FPSK+CEM) dalam Pertandingan Koir Semarak Merdeka UPM:
2022 - Johan
2023 - Kelima
2024 - Naib Johan
Tarikh Input: 22/08/2024 | Kemaskini: 27/08/2024 | ludinata

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <