ADLINA MENANG RM20,000 PROGRAM TAIKUN MUDA | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » ADLINA MENANG RM20,000 PROGRAM TAIKUN MUDA

ADLINA MENANG RM20,000 PROGRAM TAIKUN MUDA

KOTA BHARU, 30 Mac 2022 – Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) Adlina Jamaludin daripada Fakulti Sains dan Teknologi Makanan telah berjaya memenangi tempat kedua dalam program realiti TV Taikun Muda yang bersiaran secara langsung melalui saluran TV Alhijrah hari ini.

Di pentas akhir itu, Adlina yang membawa produk Teh Tarik Tudya mengandungi 13 jenis herba untuk membantu sistem penghadaman pengguna, telah berjaya menambat hati juri pertandingan. Inovasi produk dan strategi pemasaran yang strategik, akhirnya menobatkannya sebagai naib juara dengan membawa pulang geran perniagaan bernilai RM20,000.00, trofi dan sijil.

“ Sepanjang tiga (3) bulan program ini dijalankan, saya telah berhadapan pelbagai cabaran untuk menguji sejauh mana pemikiran dan kreativiti dalam mengembangkan perniagaan. Saya juga dapat merasai realiti sebenar pengurusan perniagaan, susah dan perit untuk mencapai sesuatu kejayaan. Berkat doa dan sokongan daripada ibu bapa, keluarga serta rakan-rakan memberi kekuatan dan semangat kepada saya meneruskan cabaran dalam program ini,” katanya.

Program Taikun Muda telah dianjurkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Kementerian Pengajian Tinggi dan TV Al-hijrah bertujuan untuk memberi peluang kepada mahasiswa yang berminat dalam keusahawanan menonjolkan idea-idea segar dan kreatif dalam menggerakkan ekosistem keusahawanan di Malaysia.

Sementara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berjaya dinobatkan sebagai juara, tempat ketiga Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di tempat keempat. Hadiah telah disampaikan oleh YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad Menteri Pengajian Tinggi Malaysia.

Tarikh Input: 04/04/2022 | Kemaskini: 04/04/2022 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEaJAX~