
BANGI, 29 Julai – Muhammad Afig Iskandar bin Adrel, pelajar tahun akhir Bacelor Pentadbiran Perniagaan di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM, berjaya merangkul Anugerah Kepimpinan Keusahawanan di Majlis Anugerah Putra Ikon (API) UPM 2024 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, di sini hari ini.
Anugerah ini diberikan kepada pelajar UPM yang telah menunjukkan pencapaian terbaik dalam bidang keusahawanan, terutamanya melalui penglibatan aktif dan penganjuran program-program berimpak tinggi.
Mohd Afig terlibat secara aktif dalam pelbagai aktiviti keusahawanan di universiti, termasuk menganjurkan program-program keusahawanan di pelbagai peringkat.
Kerjasama erat beliau dengan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM telah membolehkan beliau mengembangkan kemahiran dan memperoleh pengalaman berharga dalam dunia keusahawanan.
Ditemui selepas penyampaian anugerah tersebut, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak CEM UPM atas bimbingan dan tunjuk ajar yang diberikan sepanjang penglibatannya dalam aktiviti keusahawanan di universiti.
“Anugerah ini merupakan motivasi besar bagi saya untuk terus mengejar impian dalam bidang keusahawanan," ujar pemilik kiosk Putra Agro Burger di Kolej Tan Sri Aishah Ghani ini.
Sementara itu, Dr. Hizmawati Madzin, Pengarah CEM UPM berkata, Mohd Afig ialah contoh terbaik pelajar yang menunjukkan dedikasi tinggi dan semangat keusahawanan yang luar biasa.
"Kami di CEM UPM berbangga dengan pencapaian beliau dan berharap kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk mengejar kecemerlangan dalam bidang keusahawanan.
"Anugerah Kepimpinan Keusahawanan ini merupakan pengiktirafan kepada pelajar UPM yang telah mencapai tahap kecemerlangan dalam bidang keusahawanan, dan Mohd Afig adalah contoh yang cemerlang dalam memacu keusahawanan di kalangan pelajar universiti", tambah Dr. Hizmawati.
Anugerah Putra Ikon (API) merupakan platform untuk mengiktiraf dan memberi galakan kepada mahasiswa yang menunjukkan kecemerlangan yang holistik dan kompeten, selari dengan Matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu melahirkan graduan berdaya tahan dalam mendepani cabaran masa depan.
Sebanyak 19 anugerah dipertandingkan, termasuk Kluster Khas Individu (2 Anugerah), Kluster Khas Pasukan (4 Anugerah), Kluster Sukarelawanan (3 Anugerah), Kluster Pembangunan Akademik dan Intelektual (3 Anugerah), Kluster Pembangunan Sosial (3 Anugerah), Kluster Kepimpinan Pelajar (3 Anugerah), dan 1 anugerah utama iaitu Anugerah Putra Ikon 2024. – CEM
Tarikh Input: 31/07/2024 | Kemaskini: 31/07/2024 | ludinata

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <