Aplikasi JoHAN Bakal Dilancarkan – CEM Jalankan Bengkel Simulasi Uji Keberkesanan | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN cem
» BERITA » Aplikasi JoHAN Bakal Dilancarkan – CEM Jalankan Bengkel Simulasi Uji Keberkesanan

Aplikasi JoHAN Bakal Dilancarkan – CEM Jalankan Bengkel Simulasi Uji Keberkesanan

Serdang, 7 Mac 2025 – Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) telah menganjurkan Bengkel Simulasi Pelaksanaan Aplikasi Job Hunting and Networking (JoHAN) bertempat di Makmal Zetta, iDEC Infoport, pada hari Jumaat.

Bengkel ini diadakan dengan matlamat utama untuk menilai keberkesanan dan kefungsian aplikasi JoHAN, iaitu satu inisiatif digital yang dibangunkan khusus bagi membantu pelajar UPM dalam proses pencarian pekerjaan, membina jaringan profesional, serta memperkukuh kebolehpasaran graduan.

Program yang berlangsung selama sehari ini telah melibatkan semua staf CEM sebagai peserta utama, bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya cara pengendalian sistem serta bersedia memberikan sokongan kepada pengguna apabila aplikasi ini dilancarkan kepada umum kelak.

Menurut Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, Pengarah CEM, bengkel ini merupakan satu langkah penting dalam memastikan aplikasi JoHAN benar-benar bersedia untuk digunakan secara menyeluruh di peringkat universiti.

“Kami percaya JoHAN akan menjadi platform yang strategik dalam membantu pelajar UPM membuat persediaan lebih awal untuk menghadapi pasaran pekerjaan. Ia bukan sahaja menyediakan akses kepada maklumat peluang pekerjaan, malah membantu mereka membina rangkaian kerjaya profesional secara lebih sistematik dan tersusun,” ujar beliau.

Selain daripada aspek teknikal, bengkel ini turut memberi tumpuan kepada pengujian aliran kerja sistem, pengesanan isu-isu operasional, serta cadangan penambahbaikan terus daripada pengguna awal (early testers) bagi memastikan aplikasi ini mesra pengguna dan stabil.

Aplikasi JoHAN dijangka akan diperkenalkan secara rasmi kepada semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UPM dalam masa terdekat, dan seterusnya diperluas penggunaannya kepada pelajar sebagai salah satu medium utama dalam pengurusan pembangunan kerjaya secara digital di kampus.

Pelaksanaan bengkel ini mencerminkan komitmen CEM dan iDEC dalam memacu transformasi digital UPM khususnya dalam aspek sokongan kepada kebolehpasaran graduan, selari dengan aspirasi universiti dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan berdaya saing global.

#cem #upm #johan #graduanberdayasaing #transformasidigital

Tarikh Input: 25/03/2025 | Kemaskini: 25/03/2025 | zubair

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
W, (07:33:54am-07:38:54am, 13 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]