CEMREX JANA PENDAPATAN TANAM 100 POKOK NENAS | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » CEMREX JANA PENDAPATAN TANAM 100 POKOK NENAS

CEMREX JANA PENDAPATAN TANAM 100 POKOK NENAS

SERDANG,11 MAC 2024 – Program Kelestarian Hijau - Projek Menanam Pokok Nenas MD2 telah diadakan di laman hijau Pusat Pembangunan Keusahawanan & Kebolehpasaran Graduan (CEM) pada 6 Mac 2024 yang bertujuan untuk memberi pendapatan pada Kelab Rekreasi CEM (CEMRex).

Program ini dipimpin oleh Zulkifli Mohammad yang bertindak sebagai mentor kepada 11 staf CEM yang menghadiri program tersebut.

Menurut Zulkifli, peserta bukan sahaja didedahkan dengan cara menanam pokok nenas, malah mereka juga diberi peluang untuk merasai sendiri pengalaman menjadi petani untuk memastikan tanaman tersebut boleh hidup dan hasilnya boleh dituai kelak.

”Aktiviti menanam pokok ini juga sebenarnya menyokong agenda utama Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang perlu dicapai oleh UPM dan negara kita", katanya lagi.

Salah seorang peserta, Norhisham Shaari, Presiden CEMRex berkata, akhirnya beliau memahami cara menanam pokok nenas yang betul dengan teknik mudah serta boleh mendatangkan sumber pendapatan tambahan jangka panjang kepada CEMREX.

“Kami mempelajari teknik menanam yang sangat menarik, di mana kami dapat mengetahui ukuran tanah yang sesuai untuk satu pokok nenas dan jangka hayat pokok sebelum mengeluarkan hasil dalam tempoh 9 bulan," katanya.

Program Kelestarian Hijau CEM itu dianjurkan oleh Kelab CEMRex dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan.

Tarikh Input: 19/03/2024 | Kemaskini: 19/03/2024 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdLAQ~