FPV MENANG ANUGERAH KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN TERBAIK UPM 2023 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN cem
» BERITA » FPV MENANG ANUGERAH KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN TERBAIK UPM 2023

FPV MENANG ANUGERAH KADAR KEBOLEHPASARAN GRADUAN TERBAIK UPM 2023

Serdang, 5 Jun 2024 - Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM 2024 bertempat di Perpustakaan Sultan Abdul Samad. Perasmian karnival itu disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Bin Mohd Sadullah, Naib Canselor UPM, dan dihadiri oleh pelbagai tetamu kehormat, wakil industri dan warga universiti.

Ia turut disertai oleh 26 majikan yang menawarkan 1,269 jawatan kosong dan 536 tempat untuk Latihan Industri, memberikan peluang kepada para pelajar dan graduan untuk merancang hala tuju kerjaya mereka dengan lebih berkesan.

Dalam ucapan perasmian, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan mengumumkan bahawa UPM telah mencapai kadar kebolehpasaran graduan sebanyak 99.4% pada tahun 2023, menyamai rekod tahun 2022.

“Kejayaan ini adalah bukti komitmen UPM dalam memastikan graduan kita bukan sahaja memiliki pengetahuan akademik yang kukuh tetapi juga kemahiran insaniah yang diperlukan oleh industri,” katanya.

Beliau juga mengumumkan penerima Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Fakulti 2023, iaitu Fakulti Perubatan Veterinar, Fakulti Rekabentuk dan Senibina, serta UPM Kampus Bintulu yang masing-masing mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan 100%.

Dalam pada itu, UPM turut memberi penghargaan melalui Anugerah Kebolehkerjaan Graduan Terbaik (Dalam Bidang Pengajian) 2023 kepada Fakulti Perubatan Veterinar yang meraih tempat pertama dengan 91.1% graduan bekerja dalam bidang pengajian mereka. Tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan 85.6%, dan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat 80.5%.

 

Manakala, Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Keseluruhan 2023 diberikan kepada Fakulti Perubatan Veterinar yang menunjukkan prestasi cemerlang dengan kadar kebolehpasaran graduan 100% dan kadar peratusan graduan bekerja dalam bidang pengajian yang tinggi iaitu 91.1%.

Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan juga menegaskan bahawa, kadar kebolehpasaran graduan adalah satu mekanisma penting untuk mengesan status kebolehpasaran seseorang graduan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

“Dengan pencapaian ini, UPM membuktikan keupayaannya dalam melahirkan graduan yang memenuhi permintaan industri.

“Ia mencerminkan usaha berterusan UPM dalam memperkukuh kerjasama dengan industri bagi memastikan para graduan memiliki kemahiran yang relevan dan bersedia memasuki pasaran kerja yang kompetitif,” katanya lagi.

Karnival yang berlangsung selama 2 hari ini dianjurkan secara bersama oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) dan Perpustakaan Sultan Abdul Samad. – CEM.

+++

FAKTA PEMENANG

1. Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Keseluruhan 2023

Fakulti Perubatan Veterinar
- Kadar Kebolehpasaran Graduan (100%)
- Kadar Graduan Bekerja dalam Bidang Pengajian (91.1%)

2. Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik Fakulti 2023

Fakulti Perubatan Veterinar (100%)
Fakulti Rekabentuk dan Senibina (100%)
UPM Kampus Bintulu (100%)

3. Anugerah Kebolehkerjaan Graduan Terbaik (Dalam Bidang Pengajian) 2023

Pertama: Fakulti Perubatan Veterinar (91.1%)

Kedua : Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (85.6%)

Ketiga : Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (80.5%)

 

Tarikh Input: 07/06/2024 | Kemaskini: 07/06/2024 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
W, (02:31:58pm-02:36:58pm, 09 Aug 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]