GEMERSIK JOHAN PERTANDINGAN KOIR KEMERDEKAAN UPM 2022 | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » GEMERSIK JOHAN PERTANDINGAN KOIR KEMERDEKAAN UPM 2022

GEMERSIK JOHAN PERTANDINGAN KOIR KEMERDEKAAN UPM 2022

Serdang, 5 September - Lagu ‘Kita Bangsa Merdeka’ ciptaan dan gubahan oleh Dato’ Mokhzani Ismail serta lirik oleh Allahyarham Ghazali Shaaib membawa tuah kepada Kumpulan Koir GEMERSIK, yang muncul JUARA Pertandingan Koir sempena Program Semarak Merdeka UPM 2022 yang diadakan pada 5 & 6 September 2022 di Panggung Percubaan, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Dalam pertandingan tersebut, Kumpulan GEMERSIK yang dianggotai oleh gabungan 4 Pusat Tanggungjawab UPM iaitu Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Pusat Pembangunan Keusahawanan dan kebolehpasaran Graduan (CEM), Hospital Pengajar UPM (HPUPM) dan Kolej Pendeta Za’aba (KPZ) telah menggungguli pertandingan tersebut dengan menewaskan 10 pasukan lain yang bertanding.

Pasukan telah membawa pulang piala kejuaraan dan hadiah wang tunai bernilai RM500.00.

“Kami telah mendapat bimbingan dan latihan intensif daripada Guru Vokal, Cikgu Nurul Fazlina Ariff Abdullah dan Cikgu Shazwan R. Arzami yang merupakan Ahli Koir Kebangsaan.

“Latihan tersebut telah memperincikan 4 jenis paduan suara untuk dipersembahkan ketika mengalunkan lagu yang berdurasi 2 minit 23 saat tersebut.”, Kata Nooridah Mohd Top, yang merupakan Ketua Kumpulan Gemersik.

Sementara itu, Dato’ Mokhzani Ismail yang dihubungi berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada pasukan Gemersik kerana menyanyikan lagu yang telah dicipta pada tahun 2015 itu. Lagu tersebut memang jarang dinyanyikan oleh pasukan koir kerana kesukaran untuk mengalunkannya dengan intonasi, ‘pitching’, harmoni dan dinamika suara yang mantap.

“Saya percaya, semua anggota pasukan telah berpadu suara dan tenaga dengan keyakinan tinggi untuk menyanyikan lagu itu dengan tenang dengan mengetahui peranan masing-masing bagi membuahkan satu persembahan yang terbaik”, Katanya lagi.

Program Semarak Merdeka UPM 2022 telah diadakan bertujuan untuk menyemarak, memupuk dan meningkatkan semangat patriotik dalam kalangan warga kampus UPM dan masyarakat sekitar UPM.

Majlis perasmian penutupan program tersebut telah disempurnakan oleh Encik Muhazam Mansor, Pendaftar UPM.

Tarikh Input: 08/09/2022 | Kemaskini: 08/09/2022 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXDdGA5~