HAFIZ DAN ROHIDAYAH MENANG CABUTAN BERTUAH BASIKAL | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » HAFIZ DAN ROHIDAYAH MENANG CABUTAN BERTUAH BASIKAL

HAFIZ DAN ROHIDAYAH MENANG CABUTAN BERTUAH BASIKAL

Serdang, 15 November, Pelajar tahun 4, Fakulti Kejuruteraan, Muhammad Hafiz Izlan bin Badrul Hisham dan pelajar tahun 2 Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Siti Rohidayah binti Mohd Kasim hari ini membawa pulang masing-masing sebuah basikal jenama RMB apabila muncul sebagai pemenang hadiah utama menerusi cabutan bertuah Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM MyCareer @ MOHE 2023.

Hadiah tersebut disampaikan oleh Timbalan Pengarah CEM, Ludinata Misnun pada sesi cabutan karnival, yang merupakan anjuran Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) UPM dengan Kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Bercakap kepada pemberita selepas sesi penyampaian hadiah cabutan bertuah itu, Hafiz berkata dia tidak menyangka menjadi pemenang hadiah utama selepas hadir di karnival tersebut untuk mendapatkan maklumat kerjaya daripada pihak industri.

"Saya terkejut ketika dihubungi penganjur baru-baru ini mengatakan saya cabutan bertuah ini. Saya ingat saya kena ‘scam’," katanya.

Manakala itu, seorang lagi penerima hadiah cabutan bertuah, Rohidayah yang juga menerima hadiah basikal menyifatkan hadiah yang dimenangi buat julung kalinya itu sebagai rezeki selepas hadir ke karnival itu untuk mendapatkan khidmat nasihat kerjaya daripada kaunselor kerjaya UPM.

Sementara itu pada sidang media, Ludinata berkata cabutan bertuah yang dilaksanakan sepanjang karnival kerjaya tersebut, adalah satu daripada tarikan utama bagi mempromosikan karnival yang merupakan inisiatif UPM untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran graduan UPM.

Sepanjang siri cabutan berkenaan, seramai 31 orang pemenang bertuah telah membawa pulang pelbagai hadiah yang ditawarkan.

Ludinata berkata sepanjang pelaksanaan karnival kerjaya itu, lebih 2,000 pengunjung hadir di Karnival Kerjaya dan Keusahawanan UPM MyCareer @ MOHE 2023 yang berlangsung di Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) UPM di sini.

Karnival yang berlangsung selama dua hari bermula pada 17 – 18 Oktober 2023 tersebut, menyaksikan penyertaan 20 majikan yang menawarkan 1,000 peluang kerjaya, selain siri bengkel dan seminar yang merangkumi pelbagai topik seperti perkongsian bersama syarikat, tips penampilan diri, penulisan resume berimpak tinggi dan petua temuduga.

Terdahulu, UPM telah berjaya mencapai 99.4 peratus kadar kebolehpasaran graduan tahun 2022 melalui kajian Sistem Kajian Pengesanan Graduan yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) – CEM.

Tarikh Input: 18/11/2023 | Kemaskini: 18/11/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdEA0~