NOKONA SE BANTU JANA PENDAPATAN GOLONGAN SASAR | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » NOKONA SE BANTU JANA PENDAPATAN GOLONGAN SASAR

NOKONA SE BANTU JANA PENDAPATAN GOLONGAN SASAR

Serdang, 28 September 2021 - Sekumpulan mahasiswa daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mewujudkan sebuah syarikat perusahaan sosial iaitu Nokona SE untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU) di sekitar Lembah Klang di bawah Program University to community: Social Enterprise @Urban Community. Perusahaan Sosial ini telah menjalinkan kerjasama bersama Bengkel Daya Klang bagi menghasilkan produk biskut dengan lelehan coklat dan secara tidak langsung membantu menjana pendapatan golongan sasar iaitu OKU dan juga pelajar UPM yang terpilih.

Pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) telah menyalurkan dana sebanyak RM20,000.00 untuk penganjuran program ini bagi memastikan pembangunan keusahawanan sosial dalam kalangan pelajar  Institusi Pengajian Tinggi terus berkembang. Isu sosial masyarakat juga dapat dibantu dengan idea yang baik dan bernas oleh IPT serta tenaga pengajar yang mempunyai kepakaran untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat setempat.

Prof. Madya Dr. Mass Hareeza Ali, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan berkata, perusahaan sosial ini telah diketuai oleh Adlina Binti Jamaludin, pelajar Bacelor Sains dan Teknologi Makanan, UPM bersama 4 lagi pelajar iaitu Asymal Widad Bin Asyhar Badri, Amirul Dinie Bin Mohd Hanafi, Nur Afiqah Binti Mohd Fedzil dan Yeoh Yan Ho telah menjadi tunjang utama Nokona SE dalam memastikan matlamat membantu golongan sasar mampu menjana pendapatan untuk kehidupan harian mereka dapat direalisasikan. Selain itu, melalui program ini penerima manfaat juga diberi pendedahan dan kemahiran mengenai platform pemasaran digital agar mereka dapat menambah pengetahuan untuk meningkatkan hasil jualan biskut yang dihasilkan. Antara topik yang dipelajari adalah web design, creative writing, photoshop editing dan tiktok marketing.

Produk mereka iaitu Nokona Love Original Milk Cookies akan dilancarkan pada pertengahan bulan Oktober tahun ini. Dengan usaha Nokona SE dan bimbingan oleh mentor Prof. Madya Dr. Haslinda Hashim daripada Sekolah Perniagaan dan Ekonomi UPM dapat memberikan impak yang siginifikan dalam kehidupan golongan sasaran. Sehingga kini, seramai 100 orang telah terlibat dalam menyokong perusahaan ini.

Diharapkan daripada program ini agar lebih ramai usahawan sosial dapat dilahirkan dan menyumbang kepada pencapaian Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025. Program Keusahawanan sosial ini adalah anjuran bersama oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan dan Kelab Keusahawanan Uniputra UPM dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Tarikh Input: 29/09/2021 | Kemaskini: 29/09/2021 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXERBAj~