PPKG 2023 CARI FORMULA INTERVENSI TERBAIK TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN. | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » PPKG 2023 CARI FORMULA INTERVENSI TERBAIK TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN.

PPKG 2023 CARI FORMULA INTERVENSI TERBAIK TINGKAT KEBOLEHPASARAN GRADUAN.

Kuala Lumpur, 1 November 2023 - Persidangan Pasaran Kerja Graduan (PPKG) 2023 yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) telah berjaya menarik lebih 300 orang jemputan di ibu negara pagi tadi.

Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin turut hadir dalam majlis tersebut untuk menyempurnakan PPKG 2023 dan menyampaikan ucaptamanya di hadapan para ahli akademia IPT, pemain-pemain industri, kementerian dan agensi berkaitan, serta wakil mahasiswa.

Persidangan ini, yang dijalankan bersama rakan strategik seperti Talent Corporation Malaysia (TalentCorp), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), dan LinkedIn Malaysia, bertujuan untuk mengenal pasti dan berbincang potensi pasaran kerja graduan di masa hadapan.

Menurut YB Menteri, PPKG 2023 menjadi platform penting dalam memformulasikan intervensi terbaik bagi KPT dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan IPT Malaysia.

“Ia juga bertujuan menentukan penyelesaian terbaik bagi isu-isu seperti ketidaksepadanan pekerjaan dengan kemahiran, gaji permulaan, nilai tambah dan lain-lain”, katanya lagi.

Penganjuran PPKG 2023 ini selaras dengan inisiatif Strategi Dua: Peluasan Kerjaya Pelajar di dalam Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2021 – 2025. PSKG menjadi panduan bagi Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam menjayakan agenda kebolehpasaran graduan masing-masing.

Persidangan kali ini turut menyaksikan penyampaian pandangan dan pemikiran oleh personaliti terkemuka dalam dunia pendidikan dan industri, seperti Dr. Nungsari Ahmad Radhi, Datuk Mohamad Idham Nawawi, Datuk Dr. Tengku Naufal Tengku Mansor dan ramai lagi.

Dengan kehadiran tokoh-tokoh industri dan pendidikan, PPKG 2023 diharapkan dapat memberikan sumbangan yang berharga kepada usaha meningkatkan kualiti kebolehpasaran graduan di Malaysia – CEM.

Tarikh Input: 18/11/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | zul_mohd

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdGAr~