ROBERT KIYOSAKI LANCAR ASEAN UNIVERSITY CASHFLOW CHALLENGE 2026 DI UPM | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » ROBERT KIYOSAKI LANCAR ASEAN UNIVERSITY CASHFLOW CHALLENGE 2026 DI UPM

ROBERT KIYOSAKI LANCAR ASEAN UNIVERSITY CASHFLOW CHALLENGE 2026 DI UPM

SERDANG, 26 Februari 2026 – Tokoh penulis kewangan antarabangsa, Robert Kiyosaki, hari ini menyempurnakan pelancaran ASEAN University Cashflow Challenge (AUCC) 2026 di Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kiyosaki, yang terkenal menerusi karya terlaris dunia Rich Dad Poor Dad, turut memperkenalkan permainan papan pendidikan kewangan ciptaannya, CASHFLOW 101, kepada mahasiswa universiti dari seluruh rantau ASEAN.

Program berprestij ini dianjurkan secara kolaboratif oleh Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS) dan Majlis Keusahawanan Universiti-universiti Malaysia, dengan sokongan strategik daripada Now Asia.

AUCC 2026 menghimpunkan seramai 200 mahasiswa dari pelbagai universiti di rantau ASEAN, sekali gus memperkukuh kedudukan UPM sebagai hab wacana literasi kewangan dan keusahawanan mahasiswa peringkat serantau. Sepanjang program berlangsung, mahasiswa mengikuti sesi permainan CASHFLOW 101 yang dipimpin oleh Dr. Abuayubul Ansari Ibramsha dari Now Asia, atau lebih dikenali sebagai Abang Abu Mekanik Wang.

Menurut beliau, permainan CASHFLOW 101 berperanan penting dalam memperkukuh pendidikan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa melalui pendekatan simulasi yang praktikal dan berimpak tinggi. Melalui jaringan strategik Now Asia di peringkat antarabangsa, Robert Kiyosaki berjaya dibawa ke Malaysia bagi menjayakan pelancaran program berprestij ini.

Platform Pendidikan Kewangan Generasi Muda

Pengarah CEM UPM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, berkata penganjuran cabaran ini sejajar dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berilmu, tetapi celik kewangan dan berdaya saing di peringkat global.

“ASEAN University Cashflow Challenge 2026 menjadi platform strategik untuk membudayakan literasi kewangan dalam kalangan mahasiswa.

“Melalui pendekatan simulasi interaktif seperti CASHFLOW 101, pelajar dapat memahami konsep aliran tunai, pengurusan risiko dan pembinaan aset secara praktikal, bukan sekadar teori di bilik kuliah,” katanya.

Beliau menambah bahawa kerjasama rentas institusi ini juga membuka ruang jaringan antarabangsa dalam kalangan mahasiswa universiti ASEAN, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan serantau.

Aset Bekerja Untuk Kita

Dalam pada itu, Robert Kiyosaki melahirkan rasa teruja melihat penyertaan aktif mahasiswa ASEAN dalam permainan yang dirangka bagi membentuk minda pelabur dan usahawan.

“Saya amat teruja melihat pelajar-pelajar ASEAN mengambil bahagian dalam CASHFLOW 101.

Permainan ini mengajar perbezaan antara aset dan liabiliti, serta bagaimana membuat wang bekerja untuk kita — bukan kita yang bekerja untuk wang sepanjang hayat,” ujar beliau.

Tambahnya, pendidikan kewangan perlu diterapkan sejak di bangku universiti agar generasi muda tidak hanya bergantung kepada pendapatan gaji semata-mata, sebaliknya mampu membina pendapatan pasif dan mencapai kebebasan kewangan.

 

Tarikh Input: 27/02/2026 | Kemaskini: 03/03/2026 | sarahshammaddin

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
W, (07:54:29am-07:59:29am, 26 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]