SLOT MEET THE LEADER: ZERO TO HERO MENDAPAT SAMBUTAN HANGAT | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » SLOT MEET THE LEADER: ZERO TO HERO MENDAPAT SAMBUTAN HANGAT

SLOT MEET THE LEADER: ZERO TO HERO MENDAPAT SAMBUTAN HANGAT

 

SERDANG, 5 OKT: Mahasiswa UPM digesa supaya memulakan kembara kerjaya mereka seawal tahun pertama di universiti.

Nazrul Irfanradi yang merupakan salah seorang graduan usahawan yang dilahirkan oleh CEM menjelaskan hal itu bukan hanya untuk pelajar tahun akhir pengajian, sebaliknya juga mahasiswa baharu yang bakal bergraduat dalam tempoh tiga hingga lima tahun ke hadapan.

“Kita wajib cakna, perjalanan memburu kerja perlu bermula dari tahun pertama di UPM. Sebab itu kita patutnya sudah mula mendapat pendedahan untuk menyediakan resume diri kita dari awal.

“Bukan pada tahun tiga atau empat ketika kita mula kalut untuk mencari tempat latihan industri  atau mencari kerja.

“Perkara ini adalah salah satu daripada lima perkara yang saya harap dapat diberitahu oleh senior semasa di tahun satu UPM. Sebab itu hari ini, saya bersyukur dapat menyampaikannya kepada mahasiswa baharu UPM.

“Justeru, biar mereka sedar daripada awal dan tidak terlambat seperti saya”, kata Nazrul yang berucap pada Slot Meet The Leader: Zero to Hero yang diadakan pagi tadi, sempena Minggu Perkasa Putra sesi 2023/2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengulas lanjut, beliau berkata, lima perkara tersebut merupakan tulisan beliau di laman Linkedin miliknya (resume dalam talian) yang telah mendapat sambutan hangat dan menjadi viral dengan mendapat lebih 1,200 respon daripada pengikutnya.

Pada majlis itu juga, Nazrul yang juga alumni UPM turut  berpesan kepada mahasiswa baharu agar hadir ke program Karnival Kerjaya UPM dari tahun pertama pengajian, menggunakana Linkedin (aplikasi resume dalam talian, menyertai lebih banyak program berkaitan Industri seperti Program Duta Pelajar Maybank dan pelajari lebih banyak kemahiran berkaitan Industri.

Sementara itu, Mohd Redzuan Zamberi, Ketua Seksyen Kaunseling Kerjaya UPM berkata, pelajar yang masih belum mengetahui kecenderungan minat kerjaya mereka boleh datang ke Bahagian Kaunseling (BK) UPM untuk membuat Soal Selidik Kerjaya.

“Soal selidik kerjaya UPM ini akan mengenalpasti pembentukan diri, penerokaan dan seterusnya pelajar boleh membuat keputusan kerjaya mereka. Dari situ, pelajar boleh membuat persediaan kerjaya melalui bantuan kami di Bahagian Kaunseling dan CEM”, katanya ketika ditanya oleh pelajar di dalam program itu.

Manakala itu, Prof. Madya Dr Mass Hareeza Ali, Pengarah CEM yang memainkan peranan sebagai moderator di dalam program itu berharap agar pelajar baharu UPM menjadikan CEM dan BK sebagai pusat sehenti di mana mereka boleh mendapatkan maklumat tentang penerokaan kerjaya mereka.

"Saya percaya dengan sinergi kerja secara bersama antara CEM dan BK, pelajar UPM daripada pelbagai latar belakang dan kebolehan akan mendapat peluang terbaik dalam meneroka pekerjaan bersesuaian dengan mereka selepas bergraduat kelak," katanya.

Selain itu, beliau berkata, CEM dan BK komited memastikan usaha ini berjalan lancar dan seterusnya akan mencapai petunjuk prestasi utama kebolehpasaran graduan pada tahun ini. – CEM.

Tarikh Input: 07/10/2023 | Kemaskini: 22/10/2023 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
SXEdKAT~