
SERDANG, 4 Ogos – UPM telah berjaya melahirkan 45 pekerja bebas digital dalam kalangan pelajar UPM di dalam Program MOHE-MDEC Graduate Outsourcing Talent (GOT) Bootcamp di Kolej Pendeta Za’ba (KPZ), Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini.
Program yang berlangsung pada 29 Julai hingga 4 Ogos 2024 itu bertujuan untuk memperkasakan bakat tempatan dalam dunia bebas tanpa sempadan. Hal ini membolehkan mereka mendapatkan pekerjaan antarabangsa di platform digital dan memperoleh pendapatan yang lumayan.
Timbalan Pengarah CEM, Ludinata Misnun berkata, semua peserta program dari kalangan pelajar UPM telah didedahkan kepada pelbagai modul dan latihan yang relevan dengan keperluan industri pada masa kini.
“Saya lihat para peserta bersungguh-sungguh mempelajari 3 disiplin ilmu digital yang boleh menjadi pendapatan pada zaman ini iaitu IT & Pembangunan Web, Media Kreatif dan Pengurus Media Sosial.
“Mereka juga boleh menggunakan ilmu dan pengalaman yang dipelajari untuk menjana pendapatan sampingan ketika masih belajar di universiti.
“Saya percaya, ilmu dan pengalaman yang diperoleh akan menjadi aset yang sangat berharga dalam membina kerjaya yang cemerlang pada masa hadapan,” katanya lagi.
Sementara itu, Jakcob Petrus, salah seorang peserta berkata, dari sesi latihan bersemuka hingga menguasai platform pekerja bebas, setiap peringkat program ini adalah selangkah ke alam profesional.
“Salah satu aspek yang paling memuaskan adalah peluang untuk berhubung dengan peserta dari latar belakang yang pelbagai. Berinteraksi dengan individu dari pelbagai industri dan budaya telah meluaskan perspektif saya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran.
“Saya berterima kasih kepada MOHE dan MDEC, atas dedikasi mereka memupuk bakat dan menggalakkan pertumbuhan industri. Program ini telah melengkapkan saya dengan kemahiran dan keyakinan untuk berjaya dalam dunia pekerja bebas yang dinamik.”, jelasnya lagi.
Program GOT Bootcamp itu dianjurkan oleh Kemenetrian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM).
Tarikh Input: 12/08/2024 | Kemaskini: 12/08/2024 | zubair

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <