UPM LANCAR APLIKASI 'JOHAN' PERKASA GIG EKONOMI | PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
» BERITA » UPM LANCAR APLIKASI 'JOHAN' PERKASA GIG EKONOMI

UPM LANCAR APLIKASI 'JOHAN' PERKASA GIG EKONOMI

 

SERDANG, 11 Oktober 2024 – Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini melancarkan aplikasi inovatif, ‘Job Hunting and Networking’ (JoHAN), yang bertujuan memperkasa pelajar melalui peluang pekerjaan sambilan serta meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Majlis pelancaran aplikasi ini disempurnakan oleh Naib Canselor UPM, YBhg. Dato' Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, di Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM Serdang, bersempena Majlis Bersama Naib Canselor dan Ikrar Pelajar Baharu sesi 2024/2025.

Aplikasi JoHAN, yang dibangunkan oleh Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC) dengan kerjasama Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), adalah pelantar digital yang menyokong inisiatif ekonomi gig. Aplikasi ini menyediakan akses mudah kepada pelajar untuk mencari pekerjaan sambilan serta menawarkan kemahiran diri kepada pelbagai organisasi, baik di dalam mahupun luar kampus.

Menurut Pengarah CEM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, JoHAN menggantikan sistem manual bagi perkhidmatan Pekerja Khidmat Pelajar (PKP) UPM.

“JoHAN bukan sahaja memudahkan pelajar mendapatkan pekerjaan sambilan, tetapi juga membantu mereka menjana pendapatan tambahan serta mengembangkan kemahiran dan pengalaman kerja yang berharga,” jelas beliau.

JoHAN dilengkapi dengan sistem pangkalan data berpusat yang membolehkan proses permohonan dan tawaran pekerjaan dilakukan secara dalam talian dengan lebih efisien dan sistematik.

Fasa pertama aplikasi ini memfokuskan kepada pekerjaan yang ditawarkan oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) UPM, manakala fasa kedua akan diperluaskan untuk melibatkan organisasi luar kampus, memberikan pelajar lebih banyak peluang pekerjaan.

Pelancaran aplikasi ini mendapat sambutan positif daripada komuniti kampus, terutamanya pelajar baharu yang kini boleh meraih pengalaman kerja sambil belajar dengan lebih mudah. Melalui aplikasi ini, pelajar berpeluang meningkatkan kemahiran, melebarkan jaringan industri, serta membentuk personaliti yang bersedia menghadapi dunia pekerjaan sebenar selepas bergraduat kelak.

Aplikasi JoHAN dijangka menjadi alat penting dalam memperkukuhkan ekosistem pembelajaran di UPM, sekaligus meningkatkan daya saing graduan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif - CEM.

Tonton video pelancaran di SINI.

Tarikh Input: 11/10/2024 | Kemaskini: 11/10/2024 | ludinata

PERKONGSIAN MEDIA

PUSAT PEMBANGUNAN KEUSAHAWANAN DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03 - 9769 1121
.
W, (09:48:05am-09:53:05am, 19 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]