
SEPANG, 22 November – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM) melancarkan Program Agropreneur Harapan 2025, sebuah inisiatif pembangunan manusia berimpak tinggi yang menawarkan peluang kedua kepada 50 Orang Diselia (ODS) melalui latihan agrokomprehensif selama setahun di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Sepang.
Program yang berlangsung dari November 2025 hingga Oktober 2026 itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Penjara Malaysia, sekali gus memperkukuh agenda nasional dalam pemulihan, pemerkasaan dan reintegrasi sosial melalui pendidikan serta latihan berasaskan komuniti.
Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pengarah CEM UPM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, yang menegaskan bahawa program berkenaan menggabungkan latihan pertanian moden, pembangunan sahsiah serta kemahiran keusahawanan dalam bentuk yang holistik dan berstruktur.
“Kerjasama strategik antara UPM, KPT dan Jabatan Penjara Malaysia mampu membuka peluang kedua yang bermakna kepada komuniti ODS untuk membina masa depan baharu selepas kembali ke masyarakat kelak,” katanya.

Timbalan Ketua PRP Sepang, Penolong Penguasa Penjara Muhammad Hilmi Rasol, turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen UPM dalam menyokong proses pemulihan penghuni. Menurutnya, pelaksanaan program berskala tahunan itu bukan sahaja meningkatkan kemahiran peserta, malah mengukuhkan hubungan positif antara institusi pemulihan, pelajar universiti dan komuniti akademik.
Program Agropreneur Harapan 2025 melibatkan penyertaan 50 ODS, 100 pelajar UPM dan 20 mentor dari lima kolej kediaman UPM iaitu Kolej Canselor, Kolej Tan Sri Aishah Ghani, Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah, Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee dan Kolej Sepuluh.
Sepanjang program, peserta akan mengikuti pelbagai modul termasuk latihan pertanian moden, pengenalan teknologi dan inovasi agro, pengurusan projek, kemahiran keusahawanan serta latihan amali berkaitan tanaman dan pemasaran hasil. Penglibatan 100 pelajar UPM sebagai rakan pembimbing pula dijangka memperkukuh kemahiran kepimpinan, empati sosial dan kemahiran insaniah mereka.

Dengan tempoh pelaksanaan yang lebih panjang dan tersusun, program ini dijangka memberi kesan mendalam terhadap perkembangan peserta, bukan sahaja melalui peningkatan kemahiran teknikal tetapi juga keyakinan diri, pengurusan emosi dan kesiapsiagaan untuk kembali berfungsi sebagai ahli masyarakat.
Inisiatif ini sekali lagi mencerminkan komitmen UPM, KPT dan Jabatan Penjara Malaysia dalam memperkukuh agenda reintegrasi sosial melalui pendidikan, pembelajaran sepanjang hayat dan latihan berorientasikan komuniti.
Tarikh Input: 25/11/2025 | Kemaskini: 26/11/2025 | zubair

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <