
SUBANG JAYA, 28 November 2024 – Universiti Putra Malaysia (UPM) sekali lagi mencipta sejarah apabila terpilih sebagai salah satu pemenang dalam Majlis “The Talentbank 7th Graduates’ Choice of Employer Award (GCA) 2025” bagi kategori Institusi Pendidikan Tinggi Awam Terbaik. Majlis berprestij ini berlangsung pada 27 November 2024 di Sunway Resort Hotel, di sini malam tadi.
Anugerah tersebut diterima oleh Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin, Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM), yang mewakili Naib Canselor UPM.
Pengiktirafan ini menjadi bukti kejayaan UPM sebagai salah satu jenama yang paling digemari oleh graduan untuk memulakan kerjaya pada tahun 2025. Penilaian dibuat melalui kaji selidik yang dijalankan Talentbank melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
Dalam temu bual selepas majlis, Dr. Hizmawati menyatakan bahawa GCA 2025 merupakan sumber rujukan penting bagi graduan dan pencari kerja. Anugerah ini berfungsi sebagai panduan dalam memilih majikan dari kalangan syarikat dan institusi terkemuka di Malaysia.
“Kami bersyukur kerana UPM sekali lagi menerima pengiktirafan ini untuk kali ketiga berturut-turut sejak kemenangan pertama pada edisi ke-5 pada tahun 2023,” ujar beliau.

Pemilihan melalui undian pelajar sendiri ini mencerminkan komitmen berterusan UPM dalam menyediakan pendidikan bertaraf dunia, selain mencipta persekitaran pembelajaran yang kondusif bagi pelajar untuk berkembang. UPM terus berusaha menawarkan pengalaman pembelajaran dan perkhidmatan yang memenuhi, malah melangkaui, ekspektasi pemegang taruh.
Ditubuhkan pada 2010, Talentbank ialah sebuah organisasi bebas yang berperanan penting dalam meningkatkan kebolehkerjaan graduan. Organisasi ini memberi tumpuan kepada melahirkan calon pekerja yang bersedia menghadapi cabaran pasaran kerja bertaraf global - CEM.
Tarikh Input: 28/11/2024 | Kemaskini: 28/11/2024 | ludinata

Aras 1 CEM, Kompleks Mahasiswa
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
Klik > Video Lokasi <