Serdang, 15 Mei 2025 – Universiti Putra Malaysia (UPM) melakar pencapaian cemerlang apabila menerima penghagaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) apabila mencatatkan Kadar Graduan Bekerja sebanyak 99.7% menerusi Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG), sekali gus meletakkan UPM di tangga ke-2 tertinggi dalam kalangan Universiti Awam (UA).
Menurut Pengarah CEM, Prof. Madya Dr. Hizmawati Madzin berkata, kejayaan ini adalah hasil komitmen seluruh warga universiti dalam memperkukuhkan kurikulum, memperluas kerjasama industri, serta memperkasakan pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa UPM bukan sahaja komited dalam kecemerlangan akademik tetapi juga memastikan graduan kami bersedia sepenuhnya sebelum mendepani cabaran dunia pekerjaan sebenar,” katanya lagi.
Beliau menerima penghargaan mewakili Naib Canselor UPM semasa Majlis Anugerah Kebolehpasaran Graduan Tahun 2024 yang berlangsung di Hyatt Regency Kinabalu, Kota Kinabalu. Majlis tersebut disempurnakan oleh YBrs. Puan Fazidah Mustafa, Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancangan Strategik KPT, yang turut mengiktiraf sumbangan UPM dalam memperkasakan agenda kebolehpasaran graduan di peringkat nasional - CEM






